Rabu, 23 March 2022 | 4:20pm
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. - Foto AFP
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. - Foto AFP

NZ longgarkan peraturan COVID-19

WELLINGTON: Kerajaan New Zealand hari ini berkata, akan menarik balik mandat vaksin untuk beberapa sektor termasuk pengajaran dan polis mulai 4 April susulan wabak COVID-19 kini menghampiri kemuncaknya.

Tindak balas New Zealand terhadap wabak itu mendapat pujian negara luar kerana mengekalkan kadar yang rendah bagi kemasukan pesakit COVID-19 dan angka kematian.

Bagaimanapun, kemarahan orang ramai terus meningkat berikutan pelaksanaan sekatan domestik yang berterusan dan ia mencapai kemuncaknya pada awal bulan ini dengan penganjuran protes keganasan di luar Parlimen New Zealand, di Wellington.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, dalam sidang akhbar, berkata hanya mereka yang bekerja dengan golongan rentan, misalnya sektor penjagaan dan kesihatan warga emas serta pekerja di sempadan perlu diberi suntikan vaksin mulai 4 April.

Katanya, pas vaksin juga tidak lagi diwajibkan untuk mengunjungi restoran, kafe dan tempat awam yang lain.

"Dengan lebih banyak kaedah dan sebagai salah satu negara dengan populasi yang paling banyak divaksin di dunia, kami dapat terus bergerak ke hadapan dengan selamat," kata Ardern ketika mengumumkan penarikan kebanyakan mandat.

Lebih 95 peratus penduduk New Zealand yang berumur lebih 12 tahun kini telah menerima dua dos vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, dengan lebih daripada 500,000 kes yang disahkan di negara yang dihuni lima juta penduduk itu, virus berkenaan kini merebak secara meluas.

Ardern berkata, kemuncak wabak COVID-19 di bandar terbesar negara itu, Auckland kini telah berakhir, manakala negeri lain dijangka menyaksikan kemuncak jangkitan sebelum mandat vaksin ditarik balik.

"Dengan kes mencatatkan penurunan, tiba masanya untuk mengambil langkah seterusnya dengan yakin terhadap imuniti kolektif dan perlindungan yang telah kami bina," katanya.

Langkah itu diumumkan seminggu selepas kerajaan mengumumkan ia akan membuka sempadan untuk warga Australia mulai pertengahan April dan mereka yang terbabit dalam program pengecualian visa (VWP) mulai Mei. - REUTERS

Berita Harian X