Rabu, 23 March 2022 | 2:15pm
Remaja perempuan belajar semula di sekolah pagi tadi, selepas ditutup hampir tujuh bulan. - Foto AFP
Remaja perempuan belajar semula di sekolah pagi tadi, selepas ditutup hampir tujuh bulan. - Foto AFP
Remaja perempuan gembira tiba di sekolah hari ini tetapi Taliban menutup semula sekolah, selepas beberapa jam dibuka. - Foto AFP
Remaja perempuan gembira tiba di sekolah hari ini tetapi Taliban menutup semula sekolah, selepas beberapa jam dibuka. - Foto AFP

Sekolah ditutup semula selepas dibuka pagi tadi

KABUL: Taliban menutup semula sekolah untuk remaja perempuan, beberapa jam selepas dibuka pagi tadi.

Jurucakapnya, Inamullah Samangani mengesahkan arahan supaya remaja perempuan terus berada di rumah.

Arahan terbaru menimbulkan kekeliruan kerana sekolah untuk pelajar perempuan dijadual dibuka semula hari ini.

Berpuluh ribu remaja perempuan kembali ke sekolah menengah di Afghanistan pagi tadi, lebih tujuh bulan selepas Taliban merampas kuasa dan menyekat hak wanita untuk mendapat pendidikan.

Semua sekolah ditutup kerana pandemik COVID-19 apabila Taliban mengambil alih pada Ogos tetapi hanya kanak-kanak lelaki dan sebilangan kecil remaja perempuan, dibenarkan menyambung semula kelas dua bulan kemudian.

Masyarakat antarabangsa menjadikan hak untuk pendidikan sebagai syarat dalam rundingan memberi bantuan dan pengiktirafan, dengan beberapa negara dan pertubuhan menawarkan membayar guru.

Kementerian Pendidikan berkata, sekolah dibuka semula hari ini di beberapa wilayah termasuk, Kabul tetapi sekolah di wilayah selatan Kandahar, pusat Taliban, tidak akan dibuka sehingga bulan depan.

Katanya, pembukaan semula sekolah sentiasa menjadi matlamat kerajaan dan Taliban tidak tunduk kepada tekanan.

"Kami tidak membuka semula sekolah untuk menggembirakan masyarakat antarabangsa. Kami juga tidak melakukannya untuk mendapat pengiktirafan daripada dunia," kata jurucakap kementerian, Aziz Ahmad Rayan.

"Kami melakukannya sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk menyediakan pendidikan dan kemudahan lain kepada pelajar," katanya.

Taliban menegaskan, mereka mahu memastikan sekolah untuk kanak-kanak perempuan berumur 12 hingga 19 tahun diasingkan dan akan beroperasi mengikut prinsip Islam.

Walaupun sekolah dibuka semula, halangan kepada kanak-kanak perempuan mendapat pendidikan kekal, dengan banyak keluarga ragu-ragu Taliban dan enggan membenarkan anak perempuan mereka keluar. - AFP

Alina Nazari (kanan) membaca buku di rumah di Kabul, minggu lalu. - Foto AFP
Alina Nazari (kanan) membaca buku di rumah di Kabul, minggu lalu. - Foto AFP

Berita Harian X