Selasa, 22 March 2022 | 6:57pm
Seorang pengembara berjalan di balai berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong di tengah-tengah wabak COVID-19 yang kembali melonjak. - Foto REUTERS
Seorang pengembara berjalan di balai berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong di tengah-tengah wabak COVID-19 yang kembali melonjak. - Foto REUTERS

Hong Kong pertimbang buka semula sempadan antarabangsa

HONG KONG: Pembukaan semula sepenuhnya perjalanan antarabangsa di Hong Kong akan memberi 'sedikit kesan kecil' terhadap penyebaran COVID-19, menurut satu kajian akademik yang dikeluarkan hari ini, ketika hab kewangan ini mula melonggarkan langkah-langkah ketat COVID-19 itu.

Kajian bertajuk 'Perancangan ke hadapan, selepas gelombang kelima HK Omicron BA.2', menjangkakan gelombang keenam akan bermula pada Jun susulan langkah-langkah untuk mengawal penyebaran penyakit itu dilonggarkan pada beberapa bulan ini dan bandar itu meningkatkan kadar vaksinasi.

Menurut pakar dari Universiti Hong Kong, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Makmal Penemuan Data untuk Kesihatan, ia tidak akan memberi kesan langsung selagi pengembara yang tiba sudah divaksinasi sepenuhnya atau mempunyai ujian negatif ketika menaiki penerbangan ke wilayah yang dikuasai China itu.

Penyelidik itu mengesyorkan strategi terbaik untuk kerajaan Hong Kong pada masa hadapan adalah 'peralihan terkawal... lebih cepat daripada sepatutnya' bagi masyarakat meneruskan hidup dengan penyakit itu.

Pihak berkuasa di Hong Kong dan China berpegang kepada polisi 'sifar dinamik', berusaha untuk membendung wabak sebaik saja ia berlaku melalui pengesanan kontak yang dilakukan meluas, ujian dan pengasingan diri.

Bagaimanapun, sejak Februari lalu, bekas tanah jajahan British itu bergelut untuk mengatasinya apabila jangkitan dan kematian meningkat.

Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, semalam berkata, Hong Kong akan melonggarkan peraturan penjarakan sosial pada April serta menarik balik larangan penerbangan dari sembilan negara, sebagai tindak balas terhadap langkah ketat bandar itu ketika seluruh dunia beralih kepada kehidupan bersama virus.

Sejak pandemik itu bermula pada 2020, Hong Kong kini sudah merekodkan lebih sejuta jangkitan dan lebih 6,000 kematian dengan kebanyakannya bulan lalu.

Lebih separuh daripada penduduk Hong Kong sudah dijangkiti, kata penyelidik.

Pihak Berkuasa Kesihatan melaporkan 14,152 jangkitan COVID-19 baharu hari ini dengan dan 245 kematian.

Kajian itu berkata, peralihan ke arah endemik akan mendedahkan 40 peratus atau lebih daripada populasi yang belum dijangkiti secara terkawal, yang boleh membangunkan 'imuniti hibrid' melalui gabungan jangkitan semulajadi dan vaksinasi.

Katanya, sekurang-kurangnya 90 peratus daripada mereka yang berumur lebih daripada 70 tahun perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua dos vaksinasi, meningkat daripada kira-kira 70 peratus pada ketika ini.

Dengan andaian langkah-langkah penjarakan sosial dilonggarkan sepenuhnya menjelang 1 Jun, gelombang keenam penyakit itu akan muncul dan berlangsung sehingga dua bulan.

Menjelang 30 Jun depan, jumlah kumulatif jangkitan akan menjadi kira-kira 6.7 juta, dengan jumlah kumulatif kematian sehingga 10,882 korban. - REUTERS

Berita Harian X