Isnin, 21 March 2022 | 4:05pm
Hong Kong telah mengenakan larangan penerbangan ke atas sembilan negara, termasuk AS, Britain dan Australia. - Foto REUTERS
Hong Kong telah mengenakan larangan penerbangan ke atas sembilan negara, termasuk AS, Britain dan Australia. - Foto REUTERS

Hong Kong tarik balik larangan penerbangan terhadap 9 negara

HONG KONG: Kerajaan Hong Kong hari ini bersedia membenarkan kembali penerbangan dari Amerika Syarikat (AS), Britain dan tujuh negara lain, katanya ketika mengumumkan akan melonggarkan beberapa sekatan COVID-19 yang disifatkan paling tegas di dunia.

Hab kewangan itu sebelum ini bergelut untuk mengekalkan dasar sifar-COVID-19 ketika peningkatan penularan virus disebabkan varian Omicron.

Varian yang sangat mudah dijangkiti itu mencetuskan gelombang baharu kes pada Januari, dengan pihak berkuasa dengan pantasnya mengenakan larangan penerbangan ke atas lapan negara yang dianggap berisiko tinggi termasuk AS, Britain, Perancis dan India dan pada bulan lalu menambahkan satu lagi negara iaitu Nepal.

Bagaimanapun, bilangan jangkitan melonjak dengan cepat dengan Hong Kong merekodkan lebih sejuta kes dan 5,600 kematian dengan kebanyakan korban itu daripada kalangan individu tua yang tidak divaksinasi.

Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, pada sidang akhbarnya hari ini berkata, mulai 1 April, Hong Kong akan menarik balik larangan penerbangan yang dirujuk sebagai 'pemutus litar' ke atas sembilan negara adalah langkap yang tidak sesuai buat masa sekarang.

"Situasi wabak di sembilan negara itu tidak lebih buruk dari Hong Kong, dan kebanyakan pengembara yang tiba tidak mempunyai gejala serius. Justeru, jika kita terus melanjutkan pemutus litar, ia akan menambah kebimbangan penduduk Hong Kong yang terkandas di sana.

"Tempoh kuarantin untuk ketibaan yang diberi vaksin juga akan dikurangkan kepada tujuh hari di hotel yang ditetapkan, diikuti oleh tujuh hari lagi pemantauan di rumah," katanya tanpa memaklumkan bila perubahan itu bakal bermula.

Pada masa ini, penduduk Hong Kong yang berusaha pulang dari kebanyakan destinasi perlu menghadapi tempoh kuarantin selama dua minggu di hotel membabitkan kos yang mahal.

Selain itu, Lam turut mengumumkan bahawa mulai 19 April, tadika, sekolah rendah dan sekolah antarabangsa akan memulakan semula pengajaran secara bersemuka.

Bermula 21 April pula, restoran boleh terus dibuka selepas jam 6 petang untuk perkhidmatan makan di restoran yang kini dilarang, sementara perhimpunan awam boleh dihadiri hingga empat orang berbanding dua orang yang dibenarkan sekarang.

Hong Kong kini menjadi salah satu negara yang mempunyai kadar kematian tertinggi akibat COVID-19 membabitkan kalangan negara maju.

Hong Kong juga menyaksikan rekod penghijrahan penduduk asing dan tempatan, dengan aliran keluar bersih lebih daripada 134,000 orang menjelang pertengahan Mac.

Larangan perjalanan juga dikeluarkan oleh AS berhubung potensi kanak-kanak terpisah daripada ibu bapa jika mereka disahkan positif COVID-19 ketika ketibaan.

Dalam pada itu, Lam mengatakan rancangan untuk menguji 7.4 juta penduduk Hong Kong adalah 'tidak sesuai' pada peringkat ini, memandangkan sumber bandar yang terhad.

"Maka, kami berpendapat untuk menangguhkannya dan sama ada kami akan melakukannya ia adalah bergantung kepada perkembangan wabak itu," katanya. - AFP

Berita Harian X