Ahad, 20 March 2022 | 1:17pm
Seorang wanita berdiri di hadapan hartanah perniagaan yang kosong di kawasan Mongkok di Hong Kong. - AFP
Seorang wanita berdiri di hadapan hartanah perniagaan yang kosong di kawasan Mongkok di Hong Kong. - AFP

Hong Kong kaji semula sekatan COVID-19 esok

HONG KONG: Pihak berkuasa bandar ini merancang untuk menyemak semula sekatan COVID-19 esok, beberapa hari selepas mengakui banyak institusi kewangan 'hilang sabar' dengan dasar COVID-19 di hab kewangan itu.

Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam berkata, bandar dikuasai China itu mempunyai beberapa peraturan COVID-19 paling ketat di dunia, dengan larangan penerbangan dari sembilan negara termasuk Australia dan Britain serta tempoh kuarantin di hotel sehingga dua minggu bagi pengembara.

Bandar itu juga mengenakan larangan ke atas perhimpunan lebih daripada dua orang, manakala kebanyakan tempat awam ditutup termasuk pantai dan taman permainan.

Selain itu, pemakaian pelitup muka adalah wajib dan tiada pembelajaran bersemuka untuk pelajar.

Semalam, pihak berkuasa melaporkan paras terendah dalam tempoh tiga minggu iaitu 16,597 kes baharu COVID-19, turun daripada lebih 20,000 kes sehari sebelumnya.

Wabak itu menular pantas termasuk di rumah jagaan warga emas dan melumpuhkan banyak bahagian bandar.

Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, jalan di pusat kewangan Hong Kong sunyi, restoran dan bar ditutup atau kosong, manakala rak pasar raya lengang ketika orang ramai membeli barangan runcit susulan kebimbangan penutupan seluruh bandar.

Banyak perniagaan di seluruh bandar itu terpaksa ditutup, termasuk gimnasium, restoran dan bar, sementara peniaga yang lain mengeluh dan berharap sekatan sedia ada dilonggarkan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Walaupun Hong Kong secara rasminya berpegang kepada strategi 'sifar-COVID-19' bertujuan penularan wabak, tindakan terkini dan perubahan dasar mencadangkan ia beralih daripada strategi itu dengan kebanyakan bandar global utama lain ketika ini sedang belajar untuk hidup dengan virus itu.

Strategi sama digunakan China itu turut berdepan cabaran besar susulan lonjakan kes yang menyekat pergerakan juta orang dan menjejaskan beberapa hab perindustrian negara itu. - REUTERS

Berita Harian X