Rabu, 16 March 2022 | 12:37pm
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

New Zealand akan buka sempadan lebih awal

WELLINGTON: New Zealand akan membatalkan kawalan sempadannya yang ketat lebih awal susulan tindak balasnya yang terbaik di dunia menjadikan negara itu 'tempat yang selamat untuk dikunjungi.

Bercakap kepada pemberita pada Rabu, Perdana Menteri, Jacinda Ardern berkata negara itu bersedia untuk mengalu-alukan dunia kembali.

"Saya berbangga bahawa New Zealand adalah sebuah negara yang mampu menyediakan tempat selamat untuk pelancong kami pada masa ini.

"Warga Australia yang diberi vaksin boleh melawat tanpa menjalani kuarantin atau pengasingan diri mulai April, bukannya pada Julai seperti dirancang pada asalnya," katanya.

Pelancong dari negara yang mempunyai perjanjian bebas visa dengan New Zealand - termasuk pasaran utama di Hemisfera Utara, Jepun, Singapura, Korea dan Taiwan - akan dibenarkan melakukan perkara sama mulai 1 Mei.

Ardern menyifatkan perubahan itu sebagai rangsangan besar bagi industri pelancongan New Zealand yang sedang bergelut.

"Kami bersedia melangkah dengan selamat ke lembaran baharu pengurusan pandemik kami, perubahan ini membawa peluang ekonomi yang besar," katanya.

New Zealand mengalu-alukan 3.9 juta ketibaan antarabangsa pada 2019, namun sempadan ditutup pada Mac 2020 ketika COVID-19 melanda dunia.

Pelancongan penyumbang eksport terbesar New Zealand sebelum wabak itu, menjana lebih NZ$16 bilion (RM45.46 bilion) setiap tahun, dengan 40 peratus pelancong datang dari Australia.

Disebabkan pandemik, semua ketibaan antarabangsa terpaksa menjalani kuarantin selama dua minggu di kemudahan hotel dikendalikan kerajaan yang dikawal tentera.

Kawalan itu membantu menjauhkan virus daripada komuniti untuk tempoh lama, namun New Zealand kini mengalami gelombang jangkitan varian Omicron, dengan lebih 21,000 kes baharu direkodkan pada Selasa.

Bagaimanapun, kadar penerimaan vaksin populasinya tinggi, dengan lebih 95 peratus suntikan menerima dua dos ganda dan merekodkan hanya 117 kematian berkaitan coronavirus berbanding populasi lima juta.

Ardern berkata, New Zealand mempunyai kadar kematian terendah di dunia maju dan tindak balas wabaknya akan menjadikannya menarik kepada pelancong dalam pasaran antarabangsa yang kompetitif.

"Kami adalah tempat selamat untuk dikunjungi dan New Zealand akan bersedia dengan tangan terbuka/

"Kami akan menjadi pasaran yang dicari, kami kini dikenali di seluruh dunia sebagai bukan sahaja bersih dan hijau, tetapi juga selamat," katanya.

Bagaimanapun pengumuman dibuat tidak meliputi ketibaan dari negara seperti China dan India, di mana visa diperlukan untuk melawat New Zealand, yang kini mesti mengasingkan diri selama 10 hari selepas ketibaan.

Keperluan itu tidak akan digugurkan sehingga Oktober, namun Ardern menyatakan tarikh itu mungkin dipindahkan ke hadapan.

Dalam pada itu, Air New Zealand mengalu-alukan perubahan itu menyatakan bersedia untuk meningkatkan perkhidmatan bagi memenuhi permintaan.

Ketua eksekutif syarikat penerbangan itu, Greg Foran, berkata New Zealand mempunyai tempat istimewa di hati ramai orang, sama ada mereka Kiwi atau pelawat, mendarat di bumi New Zealand akan menjadi detik untuk diingati. - AFP

Berita Harian X