Isnin, 14 March 2022 | 1:50pm
Orang ramai memakai pelitup muka ketika beratur di kedai kopi di kawasan jalan di Hong Kong semalam. - AFP
Orang ramai memakai pelitup muka ketika beratur di kedai kopi di kawasan jalan di Hong Kong semalam. - AFP

Hong Kong tak cadang ketatkan sekatan susulan COVID-19

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam berkata pihaknya tidak berhasrat mengetatkan lagi sekatan ketika ini, sewaktu pihak berkuasa berjuang membendung wabak COVID-19 yang menenggelamkan sistem kesihatan dan menyaksikan kematian meningkat.

Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam berkata, terdapat kekangan untuk memperketatkan sekatan memandangkan hab kewangan global itu telah melaksanakan langkah paling ketat sejak strategi COVID bermula pada 2020.

Perhimpunan lebih daripada dua orang dilarang, kebanyakan tempat ditutup termasuk sekolah dan pemakaian pelitup mula adalah wajib di mana-mana, walaupun ketika bersenam di luar rumah.

"Kerajaan perlu berhati-hati sebelum mengetatkan lagi langkah penjarakan sosial dengan keperluan untuk mempertimbangkan kesihatan mental rakyat," katanya.

Lam berkata, kerajaan tidak mempunyai jangka masa untuk kemungkinan ujian besar-besaran wajib terhadap 7.4 juta penduduk Hong Kong.

Ketika ini, Hong Kong melaporkan lebih 700,000 jangkitan dan kira-kira 4,000 kematian, kebanyakannya berlaku dalam tempoh tiga minggu lalu.

Bekas tanah jajahan British itu mengikuti strategi 'sifar dinamik' COVID tanah besar China yang berusaha untuk membendung semua wabak sebaik sahaja ia berlaku.

Wilayah yang diperintah China menutup sempadannya dengan berkesan selama dua tahun dengan beberapa penerbangan dibenarkan dan kebanyakan penumpang transit dilarang.

Menurut penerbitan data Our World in Data, kematian bagaimanapun meningkat terutamanya dalam kalangan warga tua yang kebanyakannya tidak divaksin, dengan bandar itu mencatatkan kematian paling banyak bagi setiap juta orang di seluruh dunia dalam seminggu hingga 10 Mac lalu.

Komen Lam dibuat selepas China melaporkan lonjakan kes baharu coronavirus tempatan semalam, lebih tiga kali ganda beban kes harian sebelum ini dan tertinggi dalam kira-kira dua tahun.

Beberapa pengguna internet China menggunakan platform media sosial untuk meluahkan kemarahan terhadap Hong Kong, mengatakan ia gagal mengawal wabak virus dan menyalahkan hab itu kerana menyebabkan peningkatan jangkitan terbaharu di negara itu.

"Penduduk Shenzhen memarahi Hong Kong setiap hari sejak sebulan lalu kerana memberi banyak masalah kepada orang lain," kata seorang pengguna internet, dipanggil Chen Shui yang disiarkan di platform media sosial China Weibo. - REUTERS

Berita Harian X