Isnin, 14 March 2022 | 12:56pm
FOTO NSTP
FOTO NSTP

Penduduk Australia diminta ambil dos penggalak, lindung diri daripada Omicron

SYDNEY: Pihak berkuasa Australia memberi amaran pemberian suntikan penggalak vaksin COVID-19 yang perlahan boleh mencetus gelombang jangkitan baharu di tengah ancaman sub-varian BA.2 yang pantas menular bagi rantaian varian Omicron.

Australia bergelut dengan rekod kes dan kadar kemasukan ke hospital semasa gelombang awal Omicron, namun kembali stabil sejak enam minggu lalu.

Kemudian kebanyakan negeri melonggarkan peraturan penjarakan sosial dan penggunaan pelitup muka ditarik balik di tempat tertutup serta kakitangan diminta kembali ke pejabat.

Menteri Kesihatan New South Wales, Brad Hazzard berkata, jangkitan harian berkemungkinan meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat hingga enam minggu akan datang kerana sub-varian baharu akan menjadi dominan, menyebabkan lebih ramai orang dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia.

"Terdapat tahap kekeliruan dan masalah besar dengan orang ramai datang untuk mendapatkan dos penggalak mereka.

"Lebih dua juta orang di negeri ini - daripada jumlah penduduk lapan juta - kini layak untuk dos penggalak mereka, namun masih belum mendapatkan suntikan," katanya.

Kira-kira 20,000 kes baharu dilaporkan di Australia menjelang hari ini, manakala empat kematian dicatatkan.

Menurut data rasmi, lebih 3.1 juta kes dan 5,590 kematian direkodkan sejak wabak itu bermula, hanya lebih 57 peratus orang yang berusia 16 tahun ke atas menerima dos ketiga vaksin COVID-19 di New South Wales iaitu satu pertiga daripada 25 juta penduduk Australia dan kira-kira 95 peratus menerima dua dos.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berdasarkan data awal berkata pada bulan lalu, bahawa varian BA.2 lebih mudah tersebar daripada subvarian asal BA.1.

Pakar kesihatan dan ahli epidemiologi meminta pihak berkuasa mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula beberapa sekatan, termasuk mewajibkan pelitup muka di pasar raya dan tempat tertutup lain.

Namun Perdana Menteri, Scott Morrison berkata, pemimpin politik negara itu mahu beralih ke fasa baharu kehidupan dengan COVID-19, seolah-olah ia adalah selesema biasa. - REUTERS

Berita Harian X