Khamis, 10 March 2022 | 7:52pm
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. - Foto AGENSI
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. - Foto AGENSI

Hong Kong hanya dibuka semula selepas berjaya kawal COVID-19

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, hari ini berkata belum tiba masanya untuk menarik balik larangan penerbangan dari sembilan negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Britain, dengan rancangan untuk membuka semula bandar itu hanya selepas kerajaan mengawal wabak COVID-19 yang terus meningkat.

"Ini bukan masa (sesuai) untuk menarik balik sekatan.

"Ramai orang akan tergesa-gesa untuk kembali (ke Hong Kong)... akan ada kes dijangkiti dan itu akan menambah banyak tekanan kepada sistem hospital awam kita," katanya.

Komen itu dibuat sehari selepas beliau mengumumkan peralihan dalam pendekatan kerajaannya untuk menangani COVID-19, menumpukan lebih banyak sumber perubatan kepada orang tua apabila jangkitan dan kematian meningkat dengan cepat dalam kalangan warga emas yang kebanyakannya tidak divaksin di bandar itu.

Menurut laporan terbitan Our World in Data, hab kewangan global itu mengenakan beberapa sekatan paling 'keras' untuk memerangi lonjakan kes yang menyaksikan bandar itu mencatatkan kematian paling tinggi di seluruh dunia bagi setiap juta orang dalam tempoh seminggu sehingga 7 Mac lalu.

Jumlah jangkitan melonjak kepada kira-kira 600,000 kes, termasuk kira-kira 3,000 kematian dengan kebanyakannya berlaku dalam tempoh dua minggu lalu.

Pihak berkuasa kesihatan melaporkan 31,402 kes baharu hari ini dan 180 kematian dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Kerajaan Hong Kong sebelum ini menumpukan sumbernya untuk mengenal pasti, merawat dan mengasingkan semua kes, termasuk yang asimtomatik (tidak bergejala) dan ringan sekali gus meningkatkan tekanan ke atas hospital dan sistem penjagaan kesihatannya.

Sehingga baru-baru ini, kerajaan berkata, ia menumpukan usahanya untuk menjalankan ujian besar-besaran wajib untuk 7.4 juta penduduk Hong Kong pada bulan ini.

Sebagaimana pendekatan China, Hong Kong turut menggunakan strategi 'sifar COVID-19 bertujuan membendung jangkitan dengan langkah mitigasi yang ketat.

Pendekatan ini sukar dilaksanakan susulan varian Omicron tersebar dengan pantas.

Sementara itu, China menyaksikan peningkatan jangkitan kes baharu tempatan dengan 402 kes dilaporkan pada 9 Mac, hampir dua kali ganda daripada kiraan harian sehari sebelumnya. - REUTERS

Berita Harian X