Isnin, 7 March 2022 | 11:50am
Thailand thun lalu merekodkan 544,000 kelahiran, terendah dalam tempoh sekurang-kurangnya 60 tahun (foto hiasan). - Foto REUTERS
Thailand thun lalu merekodkan 544,000 kelahiran, terendah dalam tempoh sekurang-kurangnya 60 tahun (foto hiasan). - Foto REUTERS

Thailand bergelut hadapi krisis populasi

BANGKOK: Thailand bergelut menggalakkan rakyatnya memiliki lebih ramai anak demi mengatasi isu penurunan kadar kelahiran, dengan menawarkan khidmat pusat kesuburan serta penjagaan kanak-kanak kepada ibu bapa.

Negara itu turut menggunakan khidmat 'influencer' atau pempengaruh media sosial untuk menunjukkan kebahagiaan hidup berkeluarga.

Kempen dijalankan ketika jumlah kelahiran Thailand menurun hampir satu pertiga sejak 2013, sewaktu ia mula menurun.

Tahun lalu hanya merekodkan 544,000 kelahiran iaitu terendah dalam tempoh sekurang-kurangnya 60 tahun dan di bawah kadar kematian 563,000, yang turut meningkat akibat kematian berkaitan COVID-19.

Pakar demografi di Thammasat University, Teera Sindecharak berkata, data itu menunjukkan wujud krisis populasi di mana corak pemikiran untuk memiliki anak sudah berubah.

Pegawai kesihatan kanan Thailand, Suwannachai Wattanayingcharoenchai berkata, kerajaan Thailand sudah memutuskan perlunya langkah untuk mengatasi perkara itu.

Antara langkah itu, katanya, adalah merancang memperkenalkan dasar baharu supaya semua bayi baharu lahir mendapatkan bantuan penuh kerajaan.

"Kami cuba memperlahankan penurunan kadar kelahiran ini dan mengubah trend dengan membantu keluarga yang sudah sedia untuk memiliki anak dengan segera," katanya.

Katanya, rancangan itu termasuk membuka pusat kesuburan di 76 wilayah di Thailand berbanding hanya terhad di Bangkok dan beberapa bandar utama lain ketika ini, selain menggunakan pempengaruh media sosial untuk menyokong mesej kerajaan.

Namun, dasar itu mungkin sudah agak lewat bagi individu seperti Chinthathip Nantavong, 44, yang memutuskan bersama pasangannya untuk tidak memiliki anak.

"Membesarkan seorang anak memerlukan kos yang besar. Satu semester tadika sudah mencecah 50,000 hingga 60,000 baht (RM6,300-RM7,600), dan boleh mencecah jutaan kemudian," katanya sambil memaklumkan negara lain memiliki fasiliti penjagaan dan dasar kebajikan lebih baik. - REUTERS

Berita Harian X