X
Ahad, 6 March 2022 | 5:28pm
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida (kiri) menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 di Tokyo. - Foto AFP
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida (kiri) menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 di Tokyo. - Foto AFP

Jepun lanjut perintah kecemasan separa COVID-19 di 18 wilayah

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, berkata kerajaan akan melanjutkan tempoh perintah kecemasan separa selama dua minggu lagi bagi mengekang penularan COVID-19 terutama varian Omicron.

Ketetapan melanjutkan perintah yang sepatutnya tamat semalam itu diambil susulan amaran panel pakar bahawa varian Omicron lebih berbahaya berbanding penyakit influenza bermusim di Jepun sekarang ini.

Keputusan Kishida melanjutkan perintah kecemasan separa di Tokyo sejak 21 Januari lalu dan Osaka seminggu selepas itu, menyusuli nasihat dan amaran panel pakar kepada Kementerian Kesihatan Rabu lalu.

Pakar kesihatan juga memberi amaran bahawa kadar kematian akibat Omicron berkemungkinan lebih tinggi berbanding influenza jika sekatan tidak dilaksankan.

Analisis pakar berkenaan menggariskan potensi risiko jika penarikan sekatan pandemik terlalu cepat memandangkan institusi penjagaan kesihatan terus mengalami tekanan.

Kishida menasihatkan, 'kelakuan berisiko' seperti menyertai pesta melihat bunga sakura sempena kedatangan musim bunga, memungkinkan orang awam tidak mengendahkan atau sudah bosan dengan bahaya COVID-19.

Perintah kecemasan separa akan dilanjutkan di 18 wilayah termasuk Tokyo, Osaka dan Hokkaido sehingga 21 Mac ini, menandakan penghujung cuti akhir minggu selama tiga hari.

Namun, di 13 kawasan lain, perintah kecemasan separa ditamatkan mengikut perancangan asal kerana keadaan bertambah baik.

Menurut Kishida, kajian dijalankan mendapati sub varian BA.2 mungkin akan menggantikan Omicron sebagai strain dominan COVID-19 seawal bulan depan.

Justeru, beliau menegaskan tidak akan teragak-agak untuk menarik balik langkah berkenaan sekiranya kes meningkat secara ketara sekali lagi.

Setakat ini, Jepun terus memansuhkan kekangan secara berperingkat selepas negara itu membuka kembali sempadannya pada Selasa lalu untuk pengembara perniagaan dan pelajar asing.

Tiga bulan lalu, Jepun menguatkuasakan dasar pengasingan untuk membendung penularan Omicron.

Berbanding membuka sempadannya secara besar-besaran, Jepun mengambil langkah berwaspada dengan membenarkan kemasukan warga asing secara beransur-ansur.

Had ketibaan harian kini ditetapkan pada 5,000 orang termasuk warga Jepun dan akan dinaikkan kepada 7,000 orang mulai 14 Mac ini.

Jelas Kishida, ia bertujuan menampung kepulangan sejumlah besar warganya sebelum tahun fiskal baharu bermula bulan depan, selain bagi kemasukan seramai mungkin pelajar asing sebelum tahun persekolahan baharu bermula bulan depan.

Namun, terdapat senarai menunggu membabitkan lebih 400,000 pemegang visa untuk memasuki Jepun termasuk 150,000 pelajar asing dan 129,000 pekerja asing, yang dijangka mengambil masa berbulan lamanya untuk diselesaikan.

Pada masa sama, Kishida menjelaskan Jepun turut menerima pelarian Ukraine dan tiada had kemasukan bagi mereka ke negara itu.

Bulan lalu, Jepun merekodkan jangkitan dan kematian tertinggi akibat COVID-19 dalam sebulan sejak pandemik bermula, dengan kira-kira 2.3 juta kes positif serta 4,856 maut.

Angka kematian itu tertinggi berbanding pernah direkodkan pada Mei 2021, dengan 2,817 kematian. - AGENSI

Berita Harian X