Rabu, 2 March 2022 | 7:01am
Notis bertulis 'Tiada bahan api' dilihat di stesen minyak Ceylon Petroleum Corporation yang ditutup di Colombo. - Foto AFP
Notis bertulis 'Tiada bahan api' dilihat di stesen minyak Ceylon Petroleum Corporation yang ditutup di Colombo. - Foto AFP

Sri Lanka kenakan pemotongan kuasa paling lama dalam 26 tahun

COLOMBO: Sri Lanka semalam mengumumkan pemotongan kuasa harian tujuh setengah jam di seluruh negara, paling lama dalam lebih suku abad, kerana krisis pertukaran asing menyebabkan ia tidak dapat mengimport minyak.

Suruhanjaya Kemudahan Awam berkata, ia adalah 'hari hitam' bagi negara pulau itu kerana ia meluluskan catuan elektrik bermula hari ini dengan stesen janakuasa kehabisan bahan api.

"Apa yang kami hadapi bukanlah isu kapasiti elektrik, tetapi krisis pertukaran asing," kata suruhanjaya kawal selia sambil menambah bahawa negara itu tidak dapat mencari dolar untuk membiayai import minyak.

Pemotongan itu adalah yang paling lama dikenakan sejak 1996, apabila negara itu bergantung kepada kuasa hidro untuk sebanyak 80 peratus tenaga elektriknya dan musim kemarau yang berpanjangan menyaksikan takungan menjadi kering.

Di bawah arahan baharu, semua institusi negeri turut diarah menutup penghawa dingin mereka pada sebelah petang bagi menjimatkan tenaga.

Pengusaha bas berkata, mereka tidak dapat memperoleh diesel dan kira-kira separuh daripada 11,000 armada tidak beroperasi, walaupun cuti umum semalam mengehadkan akibatnya.

"Kami akan melihat kesan penuh kekurangan diesel esok (hari ini) apabila orang ramai kembali bekerja," kata pengerusi persatuan pengusaha bas swasta, Gemunu Wijeratne, kepada AFP.

Salah satu pembekal bahan api terbesar Sri Lanka, Lanka IOC, menaikkan harga sebanyak 12 peratus Sabtu lalu, manakala Ceylon Petroleum Corporation (CPC) yang dikendalikan kerajaan berkata, ia juga meminta kerajaan membenarkannya menaikkan harga.

Begitupun, banyak pam kering semalam dan beratur panjang di stesen minyak yang masih dibuka.

Menteri Tenaga, Udaya Gammanpila, memberitahu pemberita Sabtu lalu bahawa krisis kuasa adalah disebabkan oleh kekurangan dolar, yang disifatkannya sebagai 'krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaan' daripada Britain pada 1948.

Sektor pelancongan Sri Lanka, penyumbang mata wang asing utama, runtuh berikutan pandemik COVID-19, dan kerajaan mengenakan larangan import secara meluas pada Mac 2020 untuk menyelamatkan mata wang asing.

Negara itu kini berada dalam cengkaman krisis ekonomi, dengan kekurangan yang meluas, termasuk makanan, ubat-ubatan, alat ganti automotif dan simen, dan pasar raya terpaksa mencatu makanan ruji termasuk beras, gula dan susu tepung.

Kekurangan itu mendorong inflasi makanan meningkat kepada 25 peratus pada Januari dengan inflasi keseluruhan pada 16.8 peratus. - AFP

Berita Harian X