Sabtu, 26 Februari 2022 | 7:14pm
Kanak-kanak Ukraine memegang sepanduk semasa perhimpunan menentang pencerobohan Russia ke atas Ukraine, di Tokyo, Jepun. - Foto REUTERS
Kanak-kanak Ukraine memegang sepanduk semasa perhimpunan menentang pencerobohan Russia ke atas Ukraine, di Tokyo, Jepun. - Foto REUTERS

Bantahan pencerobohan Russia ke atas Ukraine di Sydney, Tokyo

SYDNEY/TOKYO: Beberapa ratus orang berarak dalam hujan lebat di Sydney sambil melaungkan 'Ukraine akan menang' dan menuntut tindakan tegas terhadap Moscow, manakala penunjuk perasaan di Tokyo menggesa Russia disingkirkan daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bantahan baharu itu berlaku ketika tentera Russia dan Ukraine bertempur dalam memperjuangkan ibu negara Ukraine selepas Russia menggunakan kuasa veto draf PBB.

Resolusi Majlis Keselamatan yang akan menghasilkan keputusan mengecewakan berhubung pencerobohan Kremlin ke atas Ukraine.

Dari Tokyo melewati Warsaw dan London ke New York, beribu-ribu telah membantah sejak kebelakangan ini, menentang pencerobohan, krisis keselamatan terbesar Eropah dalam beberapa dekad.

Berbalut bendera biru dan kuning Ukraine dan mengibarkan sepanduk kebangsaan negara itu, penunjuk perasaan di Sydney turut membawa papan tanda mengutuk percubaan Presiden Russia, Vladimir Putin untuk menjatuhkan kerajaan Ukraine.

Beberapa penceramah menuntut kerajaan Perdana Menteri, Scott Morrison memperluaskan sekatan terhadap Moscow dan melarang warga Russia daripada melawat Australia, manakala yang lain menggesa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk campur tangan dalam konflik itu.

"Saya mahukan lebih banyak sekatan ekonomi ke atas Russia, saya mahu bantuan ketenteraan untuk Ukraine.

"Saya mahu lebih banyak tindakan, lebih banyak tindakan konkrit dan kurang perkataan. Sudah terlambat untuk diplomasi sekarang," kata seorang penunjuk perasaan, yang hanya mahu dikenali sebagai Katarina.

Seorang lagi penunjuk perasaan, Mogdan, menyeru kerajaan Australia untuk memimpin negara lain dalam cubaan menghalang tindakan Putin.

"Ia adalah Perang Dunia Ketiga, ia adalah perang bukan sahaja di Ukraine, ia adalah perang terhadap semua orang," kata penunjuk perasaan itu.

Protes yang lebih kecil berlaku di hadapan kedutaan Russia di Canberra, ibu negara Australia, dengan orang ramai membawa sepanduk 'Putin off Ukraine' dan 'Hentikan Perang'.

Sementara itu, beberapa ratus orang berkumpul di daerah membeli-belah, Shibuya yang sibuk di tengah Tokyo, membawa bersama anak-anak mereka dan bendera Ukraine dengan melaungkan 'hentikan perang' dan 'hentikan Putin' dalam bahasa Jepun dan Inggeris.

Australia dan Jepun menyertai Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), dan banyak negara lain dalam mengenakan beberapa siri sekatan terhadap ahli politik, perniagaan dan warga elit Russia susulan pencerobohan itu. - REUTERS

Berita Harian X