Jumaat, 25 Februari 2022 | 10:58am
 Deretan kedai di Tsim Sha Tsui, Hong Kong ditutup berikutan penularan COVID-19. - Foto AFP
Deretan kedai di Tsim Sha Tsui, Hong Kong ditutup berikutan penularan COVID-19. - Foto AFP

Hong Kong tahan dua pekedai hasut bantah sekatan COVID-19

HONG KONG: Polis Hong Kong pada Khamis menahan dua pekedai kerana disyaki melakukan hasutan menerusi media sosial yang menggesa orang ramai menentang sekatan COVID-19 ketika bandar itu bergelut dengan wabak terburuknya setakat ini.

Polis berkata kedua-dua wanita berusia 21 dan 24 tahun menggunakan akaun media sosial kedai mereka untuk membangkitkan kebencian dan menghasut orang ramai melanggar peraturan antiwabak.

Polis mengesahkan kedua-duanya ditahan di bawah undang-undang era penjajah, sambil menambah pegawai menemui poster yang melanggar undang-undang ketika menggeledah kedai di daerah Mong Kok dan kediaman wanita berkenaan.

Polis Hong Kong tidak mendedahkan secara spesifik mengenai apa yang didakwa dilakukan oleh wanita itu dan sama ada ia membabitkan keganasan.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum dua tahun.

Minggu ini, Hong Kong mengetatkan langkah penjarakan sosial dan mengumumkan saringan wajib selepas bandar itu dibanjiri ribuan jangkitan baharu COVID-19 setiap hari.

Hab kewangan itu menggandakan strategi "sifar-COVID" selepas Presiden China Xi Jinping mengarahkan bandar itu mengawal virus dengan sebarang cara yang diperlukan.

Polis tidak mendedahkan identiti wanita atau premis perniagaan itu, tetapi media tempatan melaporkan bahawa puluhan pegawai menyerbu sebuah kedai pada Khamis di Mong Kok.

Akaun Facebook dan Instagram yang sepadan dengan nama kedai itu memaparkan siaran yang mengkritik dasar anti-COVID-19 Hong Kong yang ketat sebagai "mencipta panik".

Hantaran itu menggesa orang ramai mengelakkan vaksinasi dan tidak bekerjasama dengan aplikasi pengesanan kontak sambil menambah bahawa pelajar perlu 'berpura-pura sakit' selepas mendapat suntikan.

Penahanan itu dibuat pada hari sama Hong Kong melancarkan pas vaksin yang memerlukan penduduk mendapatkan vaksin sebelum memasuki lokasi seperti pusat beli-belah, pasar raya dan restoran.

Awal bulan ini, polis menahan penyanyi Tommy Yuen kerana hantaran menghasut di media sosial.

China sedang membentuk semula Hong Kong dalam imej autoritariannya menggunakan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh dikenakan Beijing, serta undang-undang hasutan peninggalan British.

Lebih 160 orang ditahan di bawah undang-undang keselamatan negara sehingga bulan lalu dengan kebanyakannya ahli politik pembangkang, aktivis, wartawan dan pekerja hak asasi manusia. - AFP

Berita Harian X