Khamis, 24 Februari 2022 | 3:52pm
Polis dan penunjuk perasaan bertembung di Wellington, New Zealand ketika polis mengetatkan kepungan di sekitar konvoi protes yang telah berkhemah di luar Parlimen selama dua minggu. - Foto AGENSI
Polis dan penunjuk perasaan bertembung di Wellington, New Zealand ketika polis mengetatkan kepungan di sekitar konvoi protes yang telah berkhemah di luar Parlimen selama dua minggu. - Foto AGENSI

Kereta PM New Zealand kena kejar penunjuk perasaan

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, tergesa-gesa ketika menghadiri program di sebuah sekolah dekat Christchurch hari ini, selepas penunjuk perasaan yang menentang pelaksanaan sekatan COVID-19 memenuhi kawasan itu dan bertindak mengejar keretanya.

Situasi itu berlaku di tengah-tengah angka jangkitan di negara itu mencatatkan rekod.

New Zealand dilapor merekodkan lebih 6,000 kes baharu COVID-19, dengan 250 kes dimasukkan ke hospital dan kerajaan menjangkakan kemuncak penularan pada pertengahan bulan depan.

Pernah 'dijulang' susulan kejayaan awal menjadikan negara itu bebas COVID-19, sebaliknya pula berlaku apabila Ardern dikritik hebat kebelakangan ini kerana lambat memansuhkan langkah sekatan.

Demonstrasi menentang kepemimpinan beliau yang bermula di ibu negara, 'merebak' ke beberapa bahagian lain di barat dan selatan kepulauan itu.

Di Christchurch, penunjuk perasaan yang berang bertindak mengepung kereta Ardern ketika beliau selesai menghadiri satu program sekolah.

Kelihatan, ada beberapa penunjuk perasaan mengejar keretanya dan menjerit mengenai mandat dan sekatan COVID-19, lapor stesen penyiaran TVNZ.

Bercakap mengenai insiden itu, Ardern berkata "saya tidak memilih untuk menumpukan sepenuhnya terhadap dua orang" sambil menambah majoriti rakyat New Zealand bersetuju dengan tahap sekatan yang beliau kenakan untuk mengekang varian Omicron.

Bagaimanapun, lonjakan mendadak kes COVID1-19 berpunca varian Omicron yang lebih menular memaksa kerajaan untuk berfikir semula mengenai strateginya.

Mengenai kelonggaran peraturan pandemik, kerajaan hari ini mengumumkan hanya individu yang sah dijangkiti COVID-19 dan kontak rapat dengan anggota isi rumah lain perlu diisolasi.

Kerajaan juga berkata, pihaknya akan memastikan kit ujian rapid antigen (RTK) tersedia secara meluas.

Perubahan yang berkuatkuasa tengah malam ini bertujuan mengurangkan tekanan dialami perkhidmatan ujian dan pengesanan kontak, selain untuk memastikan perkhidmatan kritikal dan rantaian bekalan kekal beroperasi.

"Tidak syak lagi beberapa minggu akan datang akan menjadi sukar tetapi New Zealand berada pada kedudukan lebih baik daripada kebanyakan negara untuk bertindak balas terhadap Omicron," kata Menteri Tindak balas COVID-19, Chris Hipkins dalam satu kenyataan. - AGENSI

Berita Harian X