Selasa, 22 Februari 2022 | 8:17pm
Kebanyakan wanita dihalang daripada kerja kerajaan mereka sejak Taliban mengambil semula kuasa di Afghanistan pada Ogos tahun lalu. - Foto AFP
Kebanyakan wanita dihalang daripada kerja kerajaan mereka sejak Taliban mengambil semula kuasa di Afghanistan pada Ogos tahun lalu. - Foto AFP

Pekerja wanita mesti menutup aurat - Taliban Afghanistan

KABUL: Wanita yang bekerja dengan kerajaan Taliban diwajibkan menutup aurat - walau dengan selimut jika perlu - atau mereka akan kehilangan pekerjaan.

Jabatan Amal Makruf Nahi Mungkar Taliban berkata, wanita tidak boleh keluar bekerja kecuali dengan menutup aurat, atau mereka boleh dipecat jika tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan mengapa Taliban mengeluarkan kenyataan itu kerana wanita di Afghanistan sentiasa menjaga aurat mereka di tempat awam, sekurang-kurangnya dengan selendang.

"Mereka boleh mengenakan hijab mengikut cara masing-masing," kata jurucakap kementerian, Mohammad Sadeq Akif Muhajir kepada AFP.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan pelaksanaan pemakaian burqa yang diwajibkan Taliban sebelum ini, beliau menafikan.

"Mereka boleh memakai apa saja jenis hijab, terpulang kepada mereka, asalkan menutup aurat dengan sempurna.

"Pakailah selimut jika perlu," katanya.

Ketika Taliban berkuasa sebelum ini, tafsiran Islam yang ketat bermakna mengawal tabiat, tindakan dan pakaian seharian orang ramai.

Pakaian Barat dilarang, lelaki diperintahkan untuk tidak bercukur, dan orang ramai dibelasah jika mereka tidak mengerjakan solat dengan segera.

Walaupun menjanjikan versi peraturan mereka yang lebih lembut kali ini, beberapa larangan ketat telah mula diperkenalkan, termasuk mengharamkan drama TV yang menampilkan wanita melainkan mereka mempunyai tema Islamik, dan melarang muzik di khalayak ramai. - AFP

Berita Harian X