Isnin, 21 Februari 2022 | 7:01pm
Pelajar Afghanistan menghadiri kelas di sekolah swasta di pinggir ibu kota Kabul. - Foto AFP
Pelajar Afghanistan menghadiri kelas di sekolah swasta di pinggir ibu kota Kabul. - Foto AFP

UNICEF bayar gaji guru di Afghanistan

KABUL: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) akan membayar gaji kepada guru Afghanistan untuk sekurang-kurangnya bagi dua bulan, selepas mereka tidak mendapat gaji selama berbulan-bulan akibat krisis ekonomi disebabkan sekatan ke atas pentadbiran Taliban.

UNICEF dalam satu kenyataan, semalam berkata, bayaran kira-kira AS$100 (RM417.95) sebulan itu, akan dibayar dalam mata wang tempatan kepada kira-kira 194,000 guru sekolah rendah dan menengah bagi Januari dan Februari, serta akan dibiayai Kesatuan Eropah (EU).

"Berikutan ketidaktentuan dan kesukaran yang dihadapi ramai guru selama beberapa bulan, kami berbesar hati untuk memberi sokongan kecemasan kepada guru sekolah awam di Afghanistan yang tidak berputus asa untuk memastikan kanak-kanak belajar," kata wakil UNICEF Afghanistan, Mohamed Ayoya.

Afghanistan mengalami krisis ekonomi sejak Taliban mengambil alih pada Ogos tahun lalu, apabila tentera asing berundur dari negara itu.

Sekatan ke atas sektor perbankan dan pengurangan dalam pembiayaan pembangunan menyebabkan pentadbiran baharu negara itu bergelut untuk membayar gaji ramai pekerja sektor awam, termasuk guru.

Masyarakat antarabangsa bertungkus lumus mencari jalan untuk berhubung dengan Taliban tanpa mengiktiraf kerajaan mereka secara rasmi dan menjadikan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan sebagai tuntutan utama apabila berbincang dengan kumpulan itu, kata diplomat.

Rancangan Taliban bagi pendidikan kanak-kanak perempuan tidak jelas, dengan masih ramai yang tidak dapat hadir ke sekolah menengah di sebahagian besar wilayah.

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata, ia sedang mengusahakan rancangan untuk membenarkan kanak-kanak perempuan kembali ke sekolah dan membuka universiti bulan ini, dengan kehadiran wanita. - AGENSI

Berita Harian X