Isnin, 21 Februari 2022 | 4:15pm
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. - Foto AFP
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. - Foto AFP

New Zealand tarik arahan vaksin selepas lepasi puncak Omicron

WELLINGTON: New Zealand akan menarik semula arahan vaksin COVID-19 dan langkah penjarakan sosial selepas melepasi kemuncak varian Omicron.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Jacinda Ardern, hari ini, ketika penunjuk perasaan yang menduduki kawasan Parlimen sekali lagi bertempur dengan polis, bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya menghapuskan arahan vaksin.

Ardern enggan menetapkan tarikh bagi penarikan semula arahan itu, namun katanya, akan berlaku pengurangan dalam arahan vaksin selepas Omicron mencapai kemuncaknya, yang dijangka pada pertengahan hingga akhir Mac ini.

"Kita semua mahu kembali kepada cara hidup sebelum ini. Kita akan, saya jangka lebih awal daripada yang anda fikirkan," kata Ardern pada sidang akhbar mingguan.

"Bagaimanapun, apabila itu berlaku, ia disebabkan langkah melonggarkan sekatan tidak akan menjejaskan kehidupan ribuan orang, bukan kerana anda menuntutnya," katanya, yang ditujukan kepada penunjuk perasaan.

Demonstrasi itu bermula sebagai penentangan terhadap perintah vaksin, namun kemudian bertukar menjadi gerakan yang lebih besar terhadap Ardern dan kerajaannya.

Hari ini, lapan ditangkap kerana berkelakuan tidak senonoh dan melakukan halangan, dengan sisa buangan manusia dibaling kepada beberapa pegawai polis.

New Zealand melaporkan kira-kira 16,000 kes COVID-19 dan 53 kematian sejak wabak itu melanda, jumlah yang agak rendah mengikut piawaian global, namun varian Omiicron menyebabkan purata tujuh hari jangkitan baharu semasa mencecah lebih 1,600 kes setiap hari.

Kira-kira 94 peratus penduduk yang layak sudah divaksin, dengan suntikan diwajibkan bagi sebahagian kakitangan barisan hadapan. - AGENSI

Berita Harian X