Selasa, 15 Februari 2022 | 5:45pm
Vilnius berada di bawah tekanan dari China, yang mendakwa Taiwan sebagai wilayahnya. - Foto REUTERS
Vilnius berada di bawah tekanan dari China, yang mendakwa Taiwan sebagai wilayahnya. - Foto REUTERS

Taiwan menyertai kes WTO terhadap China berhubung Lithuania

TAIPEI: Taiwan menyertai Amerika Syarikat (AS) dan Australia dalam menyokong isu perdagangan Kesatuan Eropah (EU) terhadap China di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung dakwaan sekatan perdagangan Beijing ke atas Lithuania, kata kementerian luarnya hari ini.

EU membuat cabaran di badan perdagangan yang berpangkalan di Geneva bulan lalu dengan menuduh China melakukan amalan diskriminasi perdagangan terhadap Lithuania yang dikatakan mengancam integriti pasaran tunggal EU.

Vilnius kini berada di bawah tekanan daripada China dengan gesaan untuk membatalkan keputusan membenarkan Taiwan membuka kedutaan de facto di bawah namanya sendiri.

China membatalkan hubungan diplomatik dengan Lithuania dan menekan syarikat multinasional lain untuk memutuskan hubungan dengan negara Baltik itu.

Jurucakap Kementerian Luar Taiwan, Joanne Ou, berkata Taiwan Rabu lalu sudah menyertai rundingan bagi kes itu sebagai pihak ketiga di bawah mekanisme penyelesaian pertikaian WTO.

"Paksaan ekonomi China melanggar norma ekonomi dan perdagangan antarabangsa dan tidak boleh dibiarkan.

"Negara kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi yang berfikiran sama seperti Lithuania dan EU untuk mengekalkan sistem perdagangan antarabangsa berasaskan peraturan," katanya kepada pemberita.

Britain juga berkata, mereka akan menyertai kes itu.

Cabaran di WTO membenarkan 60 hari berunding untuk mencapai penyelesaian, namun jika tiada yang dicapai, EU boleh memilih untuk melancarkan pertikaian rasmi yang akan menubuhkan panel WTO untuk mengkaji tuntutannya terhadap China. - REUTERS

Berita Harian X