Isnin, 14 Februari 2022 | 7:23pm
 Kerajaan Australia mohon maaf terhadap wanita yang diganggu secara seksual oleh hakim Mahkamah Tinggi semasa berkhidmat di mahkamah itu. - Foto REUTERS
Kerajaan Australia mohon maaf terhadap wanita yang diganggu secara seksual oleh hakim Mahkamah Tinggi semasa berkhidmat di mahkamah itu. - Foto REUTERS

Australia mohon maaf, bayar pampasan 3 mangsa gangguan seksual

SYDNEY: Kerajaan Australia memohon maaf kepada tiga wanita yang berkhidmat di mahkamah paling berkuasa di negara itu dan turut memberikan mereka sejumlah penyelesaian yang tidak didedahkan, selepas mereka didapati diganggu secara seksual oleh hakim Mahkamah Tinggi.

Penyelesaian itu dicapai hampir dua tahun selepas semakan yang dijalankan untuk mahkamah mendapati enam kakitangan wanita diganggu secara seksual oleh Dyson Heydon, yang berkhidmat di Mahkamah Tinggi Australia selama sedekad sehingga tahun 2013.

Peguam Negara, Michaelia Cash, dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan mengiktiraf keberanian tiga wanita itu yang menceritakan kisah mereka.

"Kami mendengar mereka dan kami memohon maaf.

"Kerajaan Australia memandang serius gangguan seksual - gangguan tidak boleh diterima dalam mana-mana konteks," katanya.

Peguam Heydon sebelum ini memberitahu media tempatan bahawa beliau menafikan sebarang dakwaan mengenai tingkah laku atau perbuatan yang menyalahi undang-undang dan 'jika mana-mana kelakuannya menyebabkan kesalahan, ia adalah tidak disengajakan dan memohon maaf atas sebarang kesalahan itu'.

Kenyataan 2020 oleh peguam Heydon itu turut menyatakan siasatan dijalankan oleh penjawat awam dan bukan hakim.

Bagaimanapun, firma guaman, Speed ​​and Stracey, tidak menjawab apabila diminta untuk mengulas hari ini.

Kerajaan Morrison yang menghadapi pilihan raya menjelang Mei ini dikritik terhadap cara mengendalikan beberapa kes gangguan seksual, penderaan dan diskriminasi.

Namun, pada pembukaan Parlimen minggu lalu, mereka memohon maaf kepada kakitangan yang mengalami penderaan di situ.

Dua tonggak kempen terkemuka untuk mangsa penderaan seksual, bekas pemenang warga Australia tahunan Grace Tame dan bekas kakitangan politik Brittany Higgins, yang mendakwa dirogol di pejabat menteri oleh kakitangan lain, dalam ucapan berkata, tindakan yang diperlukan adalah lebih daripada perkataan.

Tiga wanita terbabit yang mendapat pampasan dari kerajaan berkhidmat sebagai hakim bersekutu di Mahkamah Tinggi, dan mula-mula mengadu mengenai layanan terhadap mereka pada 2019, yang mendorong kepada siasatan.

Peguam wanita terbabit, Josh Bornstein, berkata terdapat perjanjian yang tidak boleh didedahkan yang menghalang perbincangan mengenai jumlah pampasan yang dibayar oleh kerajaan, namun mangsa lega untuk memuktamadkan tuntutan, malah gembira dengan penyelesaian yang dicapai.

"Mereka meminta saya untuk menyampaikan keyakinan mereka bahawa wanita tidak seharusnya berasa malu untuk mendapatkan penyelesaian kewangan dalam kes gangguan seksual kerana gangguan seksual hanya akan mula surut apabila terdapat pengiktirafan yang jelas daripada organisasi dan individu yang terbabit." katanya dalam satu kenyataan. - AGENSI

Berita Harian X