Isnin, 14 Februari 2022 | 1:56pm
Bekas Presiden Afghanistan, Hamid Karzai pada sidang media di Kabul, Afghanistan. - Foto EPA
Bekas Presiden Afghanistan, Hamid Karzai pada sidang media di Kabul, Afghanistan. - Foto EPA

AS didesak pertimbang semula keputusan mengenai aset Afghanistan

KABUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden digesa mempertimbangkan semula keputusan memperuntukkan AS$3.5 bilion (RM14.67 bilion) daripada AS$7 bilion (RM29.34 bilion) aset beku Afghanistan untuk digunakan bagi prosiding undang-undang yang tertangguh dan tuntutan pampasan tragedi 9/11.

"Bagaimana AS boleh peroleh pampasan daripada negara yang menjadi mangsa keganasan?" kata bekas Presiden Afghanistan, Hamid Karzai pada sidang di Kabul pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.

Beliau memetik kejadian pembunuhan pengasas al-Qaeda Osama bin Laden pada 2011 yang dituduh sebagai dalang serangan 9/11 dan dibunuh tentera AS dalam operasi di utara Pakistan.

Barack Obama adalah presiden AS ketika itu, dan Biden naib presiden.

Karzai menegaskan bahawa rakyatnya tidak sepatutnya menanggung perbuatan yang dilakukan Osama, meminta presiden AS menyemak semula perintah eksekutifnya serta mengembalikan AS$7 bilion milik bank pusat Afghanistan, lapornya.

"Bagaimana mereka boleh menyalahkan negara miskin dan merampas wang mereka?" Karzai merujuk kepada kesempitan kewangan dihadapi negara itu sejak Taliban mengambilalih tampuk pemerintahan pada Ogos lalu.

Pada Jumaat, Biden menandatangani perintah eksekutif mengagihkan dana beku terhadap mangsa tragedi 9/11 dan bantuan kemanusiaan di Afghanistan.

Dana itu telah disimpan dalam Bank Rizab Persekutuan sejak Taliban mengambil alih kerajaan Afghanistan.

Taliban mendakwa pemilikan dana itu, tetapi AS tidak mengiktiraf mereka sebagai kerajaan Afghanistan yang sah. Aset itu terdiri mata wang, bon, dan emas.

Pemangku pegawai Taliban berulang kali menuntut pembebasan dana yang dikawal di New York, tetapi di bawah sekatan antarabangsa, sebarang transaksi kewangan dengan kumpulan itu adalah haram.

Menurut Agensi Anadolu, bank pusat Afghanistan pada Sabtu membantah tindakan AS, dengan berkata: "Pemilik sebenar rizab ini adalah rakyat Afghanistan. Rizab ini bukan milik kerajaan, parti, atau kumpulan dan tidak pernah digunakan mengikut kehendak atau keputusan mereka." – BERNAMA

Berita Harian X