Isnin, 14 Februari 2022 | 9:28am
Orang ramai menjalani ujian saringan COVID-19 di pusat saringan sementara di Hong Kong. - Foto AFP
Orang ramai menjalani ujian saringan COVID-19 di pusat saringan sementara di Hong Kong. - Foto AFP

Gelombang ke-5 jejaskan keupayaan Hong Kong tangani COVID-19

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, berkata 'serangan' jangkitan COVID-19 di hab kewangan global itu memberi tamparan hebat dan mengatasi keupayaan wilayah untuk menangani pandemik apabila kes harian meningkat kepada rekod tertinggi.

Jangkitan harian meningkat 13 kali ganda dalam tempoh dua minggu lalu, daripada kira-kira 100 kes pada awal Februari kepada lebih 1,300 pada 13 Februari, dengan pihak berkuasa berusaha untuk mengawal wabak.

Lam berkata kerajaan akan berkoordinasi dengan pegawai China dalam menangani keadaan itu selepas China memberi jaminan akan membantu bandar itu dengan ujian, rawatan dan kuarantin.

"Serangan gelombang kelima pandemik memberi tamparan hebat kepada Hong Kong dan mengatasi kapasiti pengendalian bandar itu," katanya, sambil menambah bahawa lonjakan kes itu memanjangkan tempoh masa sebelum pesakit yang dijangkiti boleh mengakses kemudahan pengasingan.

"Keadaan ini sangat tidak diingini dan kerajaan bimbang mengenainya," katanya.

Pegawai tertinggi akan berkoordinasi dengan kerajaan pusat untuk meningkatkan kemudahan ujian dan pusat pengasingan Hong Kong.

Wilayah China melaporkan 1,347 jangkitan baharu pada Ahad, turun berbanding Sabtu, tetapi penularan dengan 2,000 lagi kes yang disyaki mengancam sistem penjagaan kesihatan, kata pihak berkuasa.

Pakar perubatan memberi amaran bandar raya itu bakal menyaksikan 28,000 jangkitan harian pada akhir Mac, dengan warga emas yang tidak divaksin menjadi kebimbangan khusus.

Katil hospital untuk pesakit COVID-19 di hab kewangan global itu sudah berada pada tahap 90 peratus, data daripada Pihak Berkuasa Hospital menunjukkan, manakala kemudahan pengasingan juga hampir kapasiti penuh.

Menurut Ketua Pengurus Pihak Berkuasa Hospital, Larry Lee, Hong Kong mengutamakan warga emas, kanak-kanak dan mereka yang dalam keadaan serius di hospital.

Hong Kong merekodkan kira-kira 24,000 jangkitan dan lebih 200 kematian, kurang berbanding bandar-bandar utama dunia. - REUTERS

Berita Harian X