Ahad, 13 Februari 2022 | 5:34pm
Protes di Kabul membantah tindakan Amerika Syarikat menggunakan dana rizab Afghanistan bagi bayar pampasan kepada keluarga mangsa tragedi 9/11. - Foto EPA
Protes di Kabul membantah tindakan Amerika Syarikat menggunakan dana rizab Afghanistan bagi bayar pampasan kepada keluarga mangsa tragedi 9/11. - Foto EPA

Protes bantah AS guna aset Afghanistan bayar pampasan

KABUL: Afghanistan mengutuk tindakan Amerika Syarikat menggunakan aset negara itu bernilai AS$3.5 bilion (RM14.6 bilion) bagi bayar pampasan ahli keluarga mangsa serangan 11 September (9/11).

Penunjuk perasaan yang berkumpul di Kabul mengecam Presiden AS, Joe Biden, dengan menuduhnya menyalah gunakan dana bagi pembangunan semula Afghanistan.

Mereka yang berkumpul di luar Masjid Eid Gah kelmarin, mendakwa aset berkenaan adalah milik rakyat Afghanistan dan turut mendesak AS memberi pampasan atas kematian puluhan rakyat Afghan sepanjang 20 tahun peperangan di negara itu.

Kelmarin, Biden menandatangani perintah eksekutif yang menyalurkan aset Afghanistan bernilai AS$3.5 bilion (RM14.6 bilion) untuk ahli keluarga mangsa 9/11.

Beliau turut menyalurkan AS$3.5 bilion (RM14.6 bilion) lagi aset Afghanistan untuk bantuan kemanusiaan melalui dana yang diuruskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut salah seorang peserta protes, Biden tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan berhubung aset Afghanistan.

Afghanistan mempunyai aset bernilai kira-kira AS$9 bilion (RM38 bilion) di luar negara, termasuk sejumlah AS$7 bilion (RM29 bilion) di AS dan yang lain disimpan di Jerman, Switzerland serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bank pusat negara itu, Da Afghanistan Bank (DAB), yang turut mengkritik keputusan berkenaan, berkata asetnya dilaburkan di AS selaras dengan amalan antarabangsa dan adalah milik rakyat Afghanistan.

"DAB mempertimbangkan keputusan terkini AS untuk menyekat rizab FX (tukaran asing) dan memperuntukkan wang rizab ini untuk tujuan yang tidak relevan, ini satu ketidakadilan kepada rakyat Afghanistan.

"(DAB) tidak akan menerima jika rizab FX Afghanistan dibayar atas nama pampasan atau bantuan kemanusiaan kepada orang lain dan mahukan keputusan ditarik balik dan pelepasan semua rizab FX Afghanistan," katanya dalam satu kenyataan.

Dana bank pusat Afghanistan dibekukan sejak Taliban mengambil alih negara itu, apabila gabungan tentera asing diketuai AS berundur pada Ogos lalu.

Pembekuan pembiayaan, digabungkan dengan sekatan dan pengurangan pembiayaan pembangunan menyebabkan ekonomi negara itu terus menjunam, sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan. - AGENSI

Berita Harian X