Ahad, 13 Februari 2022 | 12:00pm
Orang ramai beratur untuk menjalani ujian saringan COVID-19 di Hong Kong. - FOTO AFP
Orang ramai beratur untuk menjalani ujian saringan COVID-19 di Hong Kong. - FOTO AFP

Hong Kong dijangka berdepan gangguan bekalan makanan

HONG KONG: Bekalan sayur-sayuran dan daging sejuk beku di Hong Kong dijangka terjejas berikutan beberapa pemandu kenderaan yang membawa barangan itu dari Tanah Besar China dikesan positif COVID-19 hasil ujian saringan awal, menurut pihak berkuasa hab kewangan global ini.

"Pihak berkuasa Tanah Besar China dan kerajaan (Hong Kong) sedang bekerjasama rapat untuk mengukuhkan langkah mempercepatkan logistik pembekalan makanan untuk Hong Kong supaya situasi bekalan kembali normal secepat mungkin," kata Kerajaan Hong Kong dalam satu kenyataan, hari ini.

Hong Kong mengimport hingga 90 peratus makanannya, dengan Tanah Besar China merupakan sumber utama, terutama untuk bekalan makanan segar.

Ketika ini, pengguna di Hong Kong sudah pun berdepan kekurangan bekalan sesetengah barangan import, termasuk makanan laut premium, akibat sekatan penerbangan yang ketat susulan pandemik.

Semalam, bandar mempunyai 7.5 juta penduduk ini merekodkan 1,514 jangkitan baharu COVID-19, meningkat berbanding 1,325 kes kelmarin, sekali gus menjadi ujian terbesar kepada strategi 'dinamik sifar COVID' yang dilaksanakan Hong Kong.

Selepas mesyuarat dengan pihak berkuasa Tanah Besar China di Shenzhen, Ketua Setiausaha Pentadbiran Hong Kong, John Lee memaklumkan China akan membantu bandar ini untuk menangani peningkatan penularan itu, dengan menyediakan kapasiti kuarantin, rawatan serta ujian saringan.

Bagaimanapun setakat ini, beliau berkata, belum ada perancangan untuk Hong Kong melaksanakan perintah berkurung seperti di China.

Bantuan meningkatkan kapasiti itu bakal memberi ruang kepada Hong Kong 'untuk bernafas', selepas kapasiti perubatannya semakin terbeban pada semua peringkat. - REUTERS

Berita Harian X