Jumaat, 11 Februari 2022 | 5:37pm
Koala, simbol hidupan liar unik Australia yang diiktiraf secara global, telah disenaraikan sebagai spesis ‘terancam’. - Foto AFP
Koala, simbol hidupan liar unik Australia yang diiktiraf secara global, telah disenaraikan sebagai spesis ‘terancam’. - Foto AFP

Australia senaraikan koala spesis terancam

SYDNEY: Australia hari ini secara rasminya menyenaraikan koala di kawasan pantai timurnya sebagai 'terancam' kerana diancam kebakaran belukar, pembersihan hutan, kemarau dan penyakit.

Pakar pemuliharaan berkata, populasi koala menyusut di kebanyakan kawasan timur Australia sejak dua dekad lalu, sekali gus ia mencetuskan amaran bahawa spesis marsupial itu di ambang kepupusan.

Menteri Alam Sekitar, Sussan Ley, berkata beliau menetapkan populasi koala di situ sebagai terancam dan menyediakan tahap perlindungan lebih tinggi di New South Wales, wilayah ibu kota Australia dan Queensland.

Koala diiktiraf global sebagai simbol keunikan hidupan liar, disenaraikan sebagai 'terancam' di kawasan pantai timur sedekad lebih awal.

"Kami mengambil langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk melindungi koala," kata menteri itu sambil menegaskan janji kerajaan baru-baru ini yang memperuntukkan AS$36 juta (RM150.82 juta) untuk melindungi dan memulihkan habibat koala.

Pencinta alam mengalu-alukan status baharu koala tetapi mengkritik kerajaan Australia kerana sehingga kini gagal melindungi spesis itu.

"Status koala telah berubah daripada tidak disenaraikan kepada terancam dalam tempoh sedekad. Itu penurunan yang sangat pantas," kata saintis pemuliharaan WWF-Australia, Stuart Blanch.

"Keputusan hari ini dialu-alukan tetapi ia tidak akan menghalang koala daripada cenderung mengalami kepupusan melainkan ia disusuli dengan undang-undang lebih kuat dan insentif pemilik tanah untuk melindungi 'rumah' hutan mereka," katanya.

Menurut pakar pemuliharaan, adalah sukar untuk memberi angka tepat mengenai bilangan populasi kola di negeri timur yang terjejas.

Berdasarkan anggaran badan penasihat kerajaan bebas iaitu Jawatankuasa Santifik Spesis Terancam menunjukkan bilangan koala merosot daripada 185,000 pada 2001 kepada hanya 92,000 pada tahun lalu.

Menurut Alexia Wellbelove dari Humane Society Internional, koala di pantai timur boleh pupus menjelang 2050 sekiranya tiada tindakan diambil.

"Kita tidak mampu menanggung sebarang pembasmian lagi," tegasnya.

Berdasarkan penyelidikan Yayasan Pemuliharaan Australia menunjukkan Kerajaan Persekutuan meluluskan pembersihan kawasan habitat koala melebihi 25,000 hektar sejak spesis itu diisytihar dalam bahaya sedekad lalu.

"Undang-undang alam sekitar Australia sangat tidak berkesan sehingga tidak banyak yang dilakukan untuk membendung kemusnahan berterusan habitat koala di Queensland dan New South Wales sejak spesis itu sepatutnya dilindungi sedekad lalu," kata pengurus kempen alam semula jadi yayasan itu, Basha Stasak. - AFP

Berita Harian X