Jumaat, 11 Februari 2022 | 4:48pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Australia gagalkan rancangan China membiayai calon pilihan raya - media

SYDNEY: Perisik China didakwa cuba membiayai calon pembangkang Australia dari parti Buruh yang berhaluan kiri dalam pilihan raya persekutuan akan datang, tetapi cubaan itu digagalkan agensi keselamatan negara Australia, lapor beberapa media hari ini.

Plot itu didakwa diatur oleh ahli perniagaan tidak dinamakan yang mempunyai hubungan rapat dengan China, yang berusaha membiayai calon pilihan raya di New South Wales sebagai pertukaran pengaruh dalam jawatan awam.

Menurut laporan The Sydney Morning Herald dan The Age yang memetik sumber keselamatan, cubaan itu berjaya dikesan dan dihentikan oleh Organisasi Perisikan Keselamatan Australia (ASIO) tanpa memberikan butiran plot seperti didakwa merangkumi masa dan bagaimana ia dihalang.

Media lain seperti The Australian Broadcasting Corp dan The Australian juga melaporkan dakwaan sama.

Laporan itu muncul ketika isu keselamatan negara menjadi bahan kempen utama dalam pilihan raya persekutuan yang dijadualkan menjelang Mei.

Gabungan konservatif yang mentadbir ketika ini semakin ketinggalan dalam kebanyakan tinjauan undian dan baru-baru ini mendakwa parti Buruh sebagai parti pilihan China.

Pemimpin parti Buruh, Anthony Albanese, berkata beliau yakin tiada seorang pun calonnya terkesan dan pernah bercakap dengan Ketua Pengarah ASIO, Mike Burges.

"Beliau telah menegaskan semula bahawa beliau tidak membangkitkan kebimbangan mengenai mana-mana calon saya.

"Saya faham kerajaan terdesak untuk campur tangan pada masa ini tetapi saya kata kepada mereka bahawa keselamatan negara terlalu penting untuk terbabit dengan 'permainan' ini," katanya kepada wartawan.

Dalam ucapannya Rabu lalu, Burgess membuat rujukan umum kepada 'beberapa' negara asing yang campur tangan dalam kerajaan Australia dan merujuk kepada seorang 'dalang' bagi pihak kerajaan yang tidak dinamakan untuk mengenalpasti serta membiayai calon calon berkenaan tanpa pengetahuan mereka demi kepentingan kuasa asing.

Dalang yang dirujuk Burgess adalah individu yang bertindak di pihak China, menurut laporan hari ini.

Jurucakap ASIO enggan mengulas lanjut dakwaan itu dan Kedutaan China di Canberra pula tidak memberi maklum balas melalui permohonan emel. - REUTERS

Berita Harian X