Khamis, 10 Februari 2022 | 7:50pm
COVAX potong peruntukan vaksin COVID-19 Korea Utara selepas tiada penghantaran diterima. - Foto REUTERS
COVAX potong peruntukan vaksin COVID-19 Korea Utara selepas tiada penghantaran diterima. - Foto REUTERS

COVAX potong peruntukan vaksin COVID-19 Korea Utara

SEOUL: Program perkongsian vaksin COVID-19 global COVAX bertindak mengurangkan jumlah dos yang diperuntukkan untuk Korea Utara berikutan negara itu setakat ini gagal mengatur sebarang penghantaran, kata organisasi bantuan antarabangsa.

Laman sesawang yang diselenggara oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menunjukkan jumlah dos yang diperuntukkan untuk Korea Utara kini berjumlah 1.54 juta berbanding 8.11 juta pada tahun lalu.

Tahun ini, COVAX beralih kepada peruntukan vaksin berasaskan keperluan, justeru pengumpulan dos yang diperuntukkan sebelum ini kepada Korea Utara tidak lagi relevan, kata jurucakap GAVI, badan amal yang membantu mengendalikan program perkongsian vaksin.

"Vaksin yang diperuntukkan kepada Korea Utara adalah di atas pertimbangan teknikal untuk membolehkan negara memenuhi sasaran imunisasi antarabangsa pada 2022, sekiranya kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan imunisasi COVID-19 sebagai sebahagian daripada tindak balas pandemik negara," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Korea Utara tidak dipastikan sama ada mengimport sebarang vaksin COVID-19, namun laporan media mengatakan sekurang-kurangnya sesetengah individu penting seperti pegawai kawalan sempadan, mungkin sudah diberi vaksin.

Tahun lalu, Korea Utara menolak perancangan penghantaran vaksin COVID-19 AstraZeneca yang dianjurkan di bawah COVAX kerana kebimbangan terhadap kesan sampingan, kata badan pemikir Korea Selatan pada masa itu.

Pyongyang juga dilaporkan menolak tawaran tiga juta dos vaksin COVID-19 Sinovac buatan Biotech China, kata UNICEF tahun lalu.

"Gavi dan COVAX meneruskan dialog dengan (Korea Utara) untuk mengoperasikan program imunisasi COVID-19," kata jurucakap Gavi itu.

Bagaimanapun Korea Utara belum mengesahkan secara rasmi biarpun satu angka jangkitan COVID-19, walaupun pegawai di Korea Selatan dan Amerika Syarikat meragui negara itu sifar COVID-19.

Korea Utara adalah salah satu negara pertama yang menutup sempadannya kerana pandemik itu mula merebak pada 2020, dan hanya bulan lalu mula membenarkan beberapa kereta api merentasi sempadannya dengan China.

Sidang parlimen Korea Utara meluluskan 33.3 peratus dalam perbelanjaan untuk menangani wabak tahun ini, seperti dilaporkan media kerajaan pada Selasa.

"Usaha pencegahan kecemasan pandemik akan dijadikan keutamaan dalam hal ehwal negeri dan benteng pencegahan wabak akan dipergiatkan lagi," katanya. - REUTERS

Berita Harian X