Khamis, 10 Februari 2022 | 7:39pm
China menghentikan import daging lembu dari Lithuania berikutan ketegangan yang semakin meningkat berhubung Taiwan. - Foto AGENSI
China menghentikan import daging lembu dari Lithuania berikutan ketegangan yang semakin meningkat berhubung Taiwan. - Foto AGENSI

China gantung import daging lembu Lithuania

BEIJING: China menggantung import daging lembu dari Lithuania sejak semalam di tengah-tengah pertikaian perdagangan yang semakin memuncak dengan negara Baltik dan sekutu Baratnya berhubung Taiwan yang dituntut oleh China, kata Pentadbiran Am Kastam.

Bagaimanapun, kastam tidak mendedahkan sebab di sebalik pergantungan itu.

Agensi itu lazimnya menghentikan import daging jika negara pengeksport melaporkan wabak penyakit dalam ternakan.

Bagaimanapun Lithuania tidak melaporkan sebarang penyakit haiwan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) baru-baru ini.

Langkah itu bagaimanapun diambil Isnin lalu selepas Britain mengatakan akan menyertai Amerika Syarikat (AS) dan Australia dalam menyokong kes perdagangan Kesatuan Eropah (EU) terhadap China di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung dakwaan sekatan perdagangan Beijing ke atas Lithuania.

Suruhanjaya Eropah itu berkata, eksport Lithuania ke China merosot 91 peratus pada Disember berbanding bulan sama pada 2020.

Lithuania membenarkan Taiwan membuka kedutaan de facto di ibu negaranya, Vilnius tahun lalu, menimbulkan kemarahan Beijing yang menganggap pulau yang ditadbir sendiri sebagai wilayahnya.

Jurucakap Menteri Luar China, Zhao Lijian, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penggantungan import daging lembu itu, tetapi mengatakan Lithuania harus membetulkan kesilapannya.

"Apa yang Lithuania perlu lakukan ialah menghadapi fakta, membetulkan kesilapannya sendiri dan kembali ke landasan yang betul untuk mematuhi prinsip Satu China, bukannya mengelirukan perkara betul dengan salah," katanya yang merujuk kepada dasar China yang menuntut negara mengiktiraf Taiwan miliknya.

Kementerian Luar Taiwan turut mengecam tindakan terbaharu China yang digelar sebagai 'satu pihak' dan 'buli' dan contoh terbaru Beijing cuba mengubah dasar luar Lithuania.

"Kami teguh berdiri bersama dengan Lithuania," kata jurucakap kementerian Joanne Ou kepada pemberita.

China adalah pengimport utama daging lembu dunia tetapi penghantaran dari Lithuania adalah minimum.

China mengimport hanya kira-kira 775 tan daging lembu dari Lithuania pada 2021 daripada jumlah keseluruhan 2.36 juta tan import daging lembu tahun itu, menurut data kastam China.

Taiwan meningkatkan import makanannya dari Lithuania untuk membantu mengurangkan kesan sekatan Cina dengan yang terbaharu iaitu rum (arak).

Kumpulan pertama 1,200 botol habis dijual dalam masa kurang sejam selepas mula dijual bulan ini. - REUTERS

Berita Harian X