Isnin, 7 Februari 2022 | 8:18pm
Pelanggan yang memakai pelitup muka muka membeli-belah di pasar, dalam keadaan wabak COVID-19 semakin meningkat, di daerah Sha Tin, Hong Kong. - Foto REUTERS
Pelanggan yang memakai pelitup muka muka membeli-belah di pasar, dalam keadaan wabak COVID-19 semakin meningkat, di daerah Sha Tin, Hong Kong. - Foto REUTERS

Penduduk Hong Kong serbu pasar raya

HONG KONG: Penduduk Hong Kong memenuhi pasar raya dan pasar makanan segar hari ini untuk mendapatkan stok sayur-sayuran, mi dan keperluan lain selepas jangkitan COVID-19 di bandaraya itu meningkat selain gangguan pengangkutan di sempadan China.

Bandar dihuni 7.5 juta penduduk itu merekodkan 614 kes COVID-19 hari ini, situasi semakin buruk di sebalik strategi sifar COVID-19 di wilayah China itu.

Hong Kong mengimport 90 peratus bekalan makanannya, dengan China adalah sumber terpentingnya, terutamanya untuk makanan segar.

Pengguna sudah pun melihat kekurangan beberapa barangan import, termasuk makanan laut disebabkan sekatan penerbangan yang ketat.

Kerajaannya semalam cuba meredakan kebimbangan itu terutama selepas beberapa pemandu trak rentas sempadan disahkan positif COVID-19.

Namun, secara keseluruhan, bekalan makanan segar kekal stabil, biarpun terdapat penurunan bekalan sayur-sayuran di pasaran tertentu.

Di pasar makanan segar di Tin Shui Wai, di utara bandaraya itu, peniaga berkata, tidak akan ada sayur-sayuran dalam beberapa hari mendatang, mendorong peningkatan pembeliannya oleh pelanggan.

"Sudah tentu kamu perlu membeli. Tidak ada sayur-sayuran mulai esok. Lori tidak boleh datang ke sini... jadi harga sayur-sayuran menjadi mahal," kata seorang wanita berusia 50 tahun dikenali Chow.

Seorang penjual sayur-sayuran, John Chan, berkata gangguan itu menyaksikan penurunan bekalan sebanyak 30 peratus, termasuk untuk produk seperti kubis bunga.

Beliau menjangkakan ratusan kilogram sayur-sayuran yang sepatutnya tiba esok mungkin terkandas.

"Saya masih tidak tahu sama ada mereka boleh melepasi sempadan atau tidak. Jika tidak ada, harga akan terus meningkat atau kita tiada apa-apa untuk dijual," katanya.

Rak menyimpan stok sayur-sayuran, tisu dan mi cawan kosong di beberapa pasar raya di seluruh negara itu, dengan pelanggan menyimpan stok selepas bimbang produk akan menjadi lebih sukar diperoleh beberapa hari mendatang.

Seorang petugas kebersihan, Chow Lai Sheng, 60, berkata dia membeli empat gulungan tisu tandas serta mi segera dan makanan dalam tin.

"Situasi COVID-19 teruk. Tidak ada bekalan sayur-sayuran, jadi saya menyimpan sedikit," katanya. - REUTERS

Berita Harian X