Ahad, 6 Februari 2022 | 3:57pm
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison. - Foto EPA
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison. - Foto EPA

PM Australia beri bayangan buka semula sempadan kepada pelancong

AUSTRALIA: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison hari ini memaklumkan kemungkinan pembukaan semula sempadan negaranya kepada pelancong antarabangsa dalam masa terdekat, sambil menambah parlimen akan membahaskan perkara itu minggu ini.

Australia, yang menutup sempadannya pada Mac 2020, melaksana pembukaan semula secara berperingkat beberapa bulan kebelakangan ini, khusus kepada rakyat dan penduduknya, pekerja mahir serta pelajar antarabangsa.

Januari lalu, Morrison berharap sempadan antarabangsa dapat dibuka semula sepenuhnya sebelum Hari Easter.

Popularitinya merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan pengkritik mempersoalkan tindakannya mengendalikan varian Omicron, selain beliau turut berdepan tekanan menjelang pilihan raya persekutuan yang mesti diadakan menjelang Mei depan.

Biarpun varian Omicron terus menular, kes kemasukan ke hospital dan kematian semakin stabil, dengan akhbar News Corp memetik sumber yang tidak dinamakan, memaklumkan Australia mungkin membuka semula sempadannya dalam masa dua atau tiga minggu lagi.

"Kami tidak sabar untuk membuat keputusan itu bagi membuka sempadan kami dan mengalu-alukan pelancong kembali ke Australia secepat mungkin," kata Morrison.

Katanya, persidangan pertama parlimen Australia tahun ini akan bermula esok dan hal berkaitan pembukaan semula sempadan kepada pelancong akan diputuskan lebih awal.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Karen Andrews, hari ini berkata kerajaan sudah hampir untuk memutuskan keputusan itu.

Hampir 95 peratus daripada populasi Australia berumur 16 tahun ke atas sudah menerima lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan hampir sembilan juta individu pula menerima dos penggalak.

Setakat hari ini, laporan harian terkini menunjukkan 43 kematian berkaitan COVID-19, 28 di wilayah New South Wales, Queensland (sembilan) dan enam di Victoria. - REUTERS

Berita Harian X