Sabtu, 5 Februari 2022 | 4:03pm
penularan Omicron di New Zealand menyebabkan pihak berkuasa kesihatan menjangkakan jumlah kes baharu akan meningkat. - Foto REUTERS
penularan Omicron di New Zealand menyebabkan pihak berkuasa kesihatan menjangkakan jumlah kes baharu akan meningkat. - Foto REUTERS

243 kes baharu COVID-19 di New Zealand

MELBOURNE: New Zealand merekodkan 243 kes dalam komuniti baharu COVID-19 hari ini ketika pihak berkuasa menjangkakan peningkatan kes baharu membabitkan varian Omicron, namun mengingatkan orang ramai untuk kekal tenang.

Negara yang memiliki lima juta penduduk itu menutup pintu sempadan negara sejak awal 2020, dengan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern Khamis lalu berkata, sempadan itu dijangka dibuka sepenuhnya pada Oktober depan.

Penutupan sempadan serta pelaksanaan perintah berkurung dan peraturan penjarakan fizikal yang ketat mengehadkan penularan COVID-19 di negara itu, dengan hanya sekitar 17,000 kes dan 53 kematian direkodkan.

Namun, penularan Omicron di negara Pasifik itu menyebabkan pihak berkuasa kesihatan menjangkakan jumlah kes baharu akan meningkat.

Bagaimanapun, Menteri Tindak Balas COVID-19, Chris Hipkins, menegaskan kepada penduduk New Zealand untuk kekal tenang dan tidak panik, sebaliknya membuat perancangan jika jangkaan itu berlaku.

"Langkah terbaik yang boleh anda lakukan untuk mengelak jatuh sakit adalah mendapatkan vaksin dan dos penggalak," katanya.

Data Kementerian Kesihatan New Zealand menunjukkan seramai 93 peratus individu berusia 12 tahun ke atas sudah mendapat suntikan lengkap vaksin COVID-19, dan 49 peratus sudah menerima dos penggalak.

Di Australia yang bergelut dengan Omicron sejak beberapa minggu lalu, sejumlah 81 kematian direkodkan hari ini akibat wabak itu, dengan 21 kematian di Queensland, iaitu yang tertinggi di negeri itu sepanjang pandemik.

Kira-kira 2,000 individu terbabit dalam tunjuk perasaan di Canberra bagi menentang perintah mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 serta beberapa sekatan lain.

Setakat ini, vaksinasi masih dilaksanakan secara sukarela di peringkat persekutuan, namun beberapa negeri dan wilayah mewajibkan pengambilan vaksin itu bagi beberapa jenis pekerja dan pekerjaan tertentu.

Individu tidak divaksin pula dilarang daripada melakukan pelbagai aktiviti, seperti makan di luar dan menghadiri konsert. - REUTERS

Berita Harian X