Jumaat, 4 Februari 2022 | 5:50pm
Orang ramai yang memakai pelitup muka berjalan melepasi skrin elektronik yang memaparkan notis mengenai langkah keselamatan COVID-19, di tengah-tengah pandemik COVID-19 di Tokyo, Jepun. - Foto REUTERS
Orang ramai yang memakai pelitup muka berjalan melepasi skrin elektronik yang memaparkan notis mengenai langkah keselamatan COVID-19, di tengah-tengah pandemik COVID-19 di Tokyo, Jepun. - Foto REUTERS

Kes COVID-19 serius di Jepun, lepasi 1,000 kes

TOKYO: Kes COVID-19 kategori serius di Jepun melepasi 1,000 kes buat kali pertama dalam tempoh empat bulan, berdasarkan data hari ini, selepas varian Omicron meningkatkan rekod jangkitan dan membebankan sistem perubatan.

Kementerian Kesihatan memaklumkan, kes membabitkan kategori serius meningkat sebanyak 131 kes, kepada 1,042 kes berbanding hari sebelumnya, yang tertinggi sejak September susulan kemunculan varian Delta yang menyumbang kepada gelombang kelima kes jangkitan.

Jepun merekodkan 96,748 kes baharu semalam.

Kebanyakan wilayah kini berada di bawah langkah kawalan jangkitan bagi mengekang penularan Omicron yang melonjak dalam kalangan penduduk, yang mana kurang lima peratus daripada mereka menerima suntikan dos penggalak.

Fuji News Network, semalam melaporkan, kerajaan sedang mempertimbang untuk melanjutkan sekatan selama dua minggu lagi di 13 wilayah, termasuk ibu negara, Tokyo.

Tokyo meningkatkan amaran coronavirus ke tahap tertinggi, semalam. Kerajaan bandar itu turut menetapkan kriteria yang disemak semula bagi memohon pelaksanaan darurat.

Tokyo akan memohon pengisytiharan darurat jika kadar penggunaan katil di hospital bagi pesakit serius atau kadar pesakit yang memerlukan oksigen mencapai 30 ke 40 peratus dan purata tujuh hari kes baharu mencecah 24,000 kes. - REUTERS

Berita Harian X