Khamis, 3 Februari 2022 | 4:27pm
Orang ramai memakai pelitup muka ketika menyertai upacara keagamaan bagi menyambut ketibaan musim bunga dan mendoakan COVID-19 dijauhkan, di kuil Naritasan Shinshoji di Narita, dekat Tokyo, Jepun. - Foto REUTERS
Orang ramai memakai pelitup muka ketika menyertai upacara keagamaan bagi menyambut ketibaan musim bunga dan mendoakan COVID-19 dijauhkan, di kuil Naritasan Shinshoji di Narita, dekat Tokyo, Jepun. - Foto REUTERS

13 wilayah di Jepun ketatkan kawalan COVID-19

TOKYO: Jepun berdepan dilema bagi memperketatkan langkah kawalan COVID-19 berikutan peningkatan ketara kes walaupun mengamalkan peraturan ketat bagi membendungnya.

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, berkata beliau merancang pelaksanaan separa-darurat iaitu pendekatan lebih ketat khusus bagi keluar makan di restoran dan berhimpun di 13 wilayah termasuk Tokyo sehingga 13 Februari ini.

Tambah beliau, kerajaan menamatkan kelonggaran yang sebelum ini membenarkan mereka yang sudah divaksinasi atau mendapat keputusan ujian negatif dikecualikan daripada sekatan COVID-19, apabila kes melonjak.

Jepun mempertimbangkan lanjutan langkah kawalan selama dua minggu bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di 13 wilayah, lapor Fuji News Network, hari ini.

Tokyo juga meningkatkan tahap amaran kepada peringkat tertinggi hari ini, selepas melaporkan 21,576 kes COVID-19 pada hari sebelumnya.

Sementara itu, statistik jangkitan di seluruh negara hari ini mencapai rekod 94,815 kes disebabkan penularan pantas varian Omicron.

Kadar penggunaan katil bagi pesakit COVID-19 juga meningkat sehingga 51.4 peratus, di mana pegawai menyifatkan keadaan mencapai kecemasan serius sekiranya penggunaan katil melebihi 50 peratus.

Semalam, Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno, berkata kerajaan tidak bercadang mengisytiharkan keadaan darurat tetapi kekal berjaga-jaga.

Menteri Kesihatan, Shigeyuki Goto, berkata kes coronavirus membabitkan kanak-kanak amat membimbangkan kerana mudah berjangkit kepada anggota keluarga lain.

"Buat masa sekarang, kontak rapat kepada anggota keluarga atau saudara yang dijangkiti COVID-19 dikenakan perintah duduk selama tujuh hari selepas rawatan berakhir.

"Kita dapati anggota keluarga terdekat pesakit kanak-kanak lazimnya turut dijangkiti COVID-19, sekali gus memaksa mereka kekal di rumah.

"Kita perlu mengimbangi keperluan kegiatan sosio ekonomi dengan usdaha membendung jangkitan," katanya. - REUTERS

Berita Harian X