Selasa, 1 Februari 2022 | 4:18pm
Penunjuk perasaan Tibet dan Uighur menggesa boikot Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing. - Foto AFP
Penunjuk perasaan Tibet dan Uighur menggesa boikot Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing. - Foto AFP

Parlimen Jepun lulus resolusi bimbang isu hak asasi di China

TOKYO: Parlimen Jepun hari ini meluluskan satu resolusi jarang dilakukan, iaitu mengenai kebimbangan isu hak asasi di China, termasuk layanan etnik Uighur beragama Islam dan Hong Kong, beberapa hari sebelum temasya Sukan Olimpiik Beijing membuka tirai.

Intipati resolusi yang dicadangkan oleh kumpulan bipartisan dilaporkan dikurangkan selepas melalui perbincangan panjang bagi mengelak menuduh Beijing secara langsung melakukan pencabulan hak asasi.

Bagaimanapun, resolusi menyentuh rekod hak asasi China umpama 'kena pada masanya' ketika republik itu bersiap sedia untuk membuka tirai Sukan Olimpik pada bulan ini.

Tokyo berusaha mengambil langkah berhati-hati menyentuh isu berkaitan China, mengimbangi tekanan yang dikenakan ke atas Beijing oleh sekutu rapat Washington.

Amerika Syarikat (AS) dan China adalah rakan dagangan terbesar negara matahari terbit itu.

Undian majoriti di Dewan Rakyat meluluskan resolusi yang menyatakan kebimbangan serius terhadap situasi hak asasi manusia di wilayah Xinjiang, Tibet, Hong Kong dan Inner Mongolia.

Resolusi itu menggesa kerajaan Jepun untuk mengadakan libat urus secara konstruktif mengenai isu hak asasi di China.

Beijing sudah sekian lama menafikan layanannya terhadap entik Uighur dan kebanyakan orang Islam Turkic, termasuk tuduhan AS bahawa republik itu melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Pakar menganggarkan lebih sejuta orang dipenjarakan di kem terletak di wilayah Xinjiang yang menempatkan minoriti itu.

Pada Disember tahun lalu, Jepun berkata pihaknya tidak akan menghantar wakil negara itu ke Sukan Olimpik Beijing kerana mahu China menghormati hak asasi serta lunas undang-undang.

Langkah itu dibuat selepas AS, Britain, Australia dan Kanada mengumumkan boikot diplomatik ke atas temasya itu bermula 4 Februari ini, kerana mendakwa berlaku pelanggaran meluas hak asasi dilakukan oleh China.

Susulan itu, Beijing memberi amaran kepada empat negara Barat berkenaan yang bakal menerima 'balasan setimpal' ke atas kempen yang diterajui AS. - AFP

Berita Harian X