Isnin, 31 Januari 2022 | 4:53pm
Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri Caspar Tsui (kanan) telah dilanjutkan penggantungan tugasnya. - Foto AGENSI
Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri Caspar Tsui (kanan) telah dilanjutkan penggantungan tugasnya. - Foto AGENSI

Menteri kabinet Hong Kong berundur kerana parti tapas

HONG KONG: Seorang menteri Kabinet Hong Kong meletak jawatan hari ini kerana menghadiri majlis hari jadi bersama berpuluh-puluh pegawai dan ahli parlimen hanya beberapa hari selepas kerajaan menyekat perhimpunan besar bagi memerangi penularan COVID-19.

"Saya hari ini telah mengemukakan peletakan jawatan saya kepada Ketua Eksekutif dan berhasrat meninggalkan jawatan itu hari ini," kata Menteri Dalam Negeri, Caspar Tsui dalam satu kenyataan.

Beliau berkata; "Sebagai salah seorang Pegawai Utama yang menerajui perjuangan antiwabak, saya tidak menunjukkan contoh terbaik menangani wabak baru-baru ini."

Peletakan jawatan Tsui adalah satu tamparan kepada pentadbiran Ketua Eksekutif, Carrie Lam yang masa memegang jawatannya berhadapan kumpulan protes prodemokrasi yang besar dan tindakan keras seterusnya terhadap perbezaan pendapat yang telah mengubah Hong Kong.

Sambutan 3 Januari lalu di restoran tapas diadakan sempena hari jadi ahli badan penggubal undang-undang tertinggi China, Witman Hung, menjadi satu lagi insiden memalukan Lam kerana kerajaannya melaksanakan dasar ketat 'sifar COVID-19' yang serupa dengan Beijing.

Senarai tetamu itu didedahkan selepas pihak berkuasa kesihatan mengesan orang yang dijangkiti ke parti itu.

Lebih 200 orang hadir dengan berpuluh-puluh pegawai tinggi kerajaan hadir termasuk polis bandar itu, pegawai imigresen dan ketua pegawai antirasuah serta 20 ahli parlimen.

Pada masa ini, penganjuran parti itu tidak menyalahi undang-undang mengikut di peraturan penjarakan sosial yang ketat di Hong Kong.

Namun, Ketua Kesihatan bandar itu tiga hari lalu memberi amaran kepada orang ramai untuk mengelakkan perhimpunan kumpulan besar.

Lam berkata, pegawai gagal menunjukkan contoh baik dan mengarahkan siasatan dijalankan.

Tsui, 45, adalah bintang politik yang semakin meningkat dari parti proBeijing terbesar Hong Kong, DAB, yang memperkenalkan sistem politik 'patriot saja' yang dilaksanakan Beijing, yang mana mereka melabel pembangkang prodemokrasi kumpulan pesalah.

Hong Kong bertindak tegas memerangi penularan COVID-19 dengan memperkenalkan beberapa peraturan yang paling ketat di dunia termasuk kuarantin mandatori yang lama untuk semua ketibaan, sekatan ke atas perhimpunan awam dan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam kecuali waktu makan.

Gambar parti hari jadi itu didedahkan kepada media tempatan yang menunjukkan tetamu sedang berkaraoke dan mengambil gambar berkumpulan tanpa memakai pelitup muka.

Selepas parti itu, beberapa kluster jangkitan lain varian Omicron dan Delta dikesan, yang membawa kepada pengenalan semula sekatan yang lebih keras termasuk penutupan gimnasium dan bar serta mengehadkan restoran menyediakan hidangan bawa pulang pada waktu malam.

Rakyat Hong Kong tidak boleh memilih pemimpin mereka walaupun protes prodemokrasi dilaksanakan beberapa tahun kebelakangan ini dan kes peletakan jawatan amat jarang sekali berlaku dalam kalangan ahli Kabinet.

Semasa berkempen untuk jawatan tertinggi, Lam berkata, beliau akan berundur jika kehilangan sokongan popular.

Pentadbirannya mempunyai penilaian kelulusan yang rendah secara konsisten, merosot serendah 18 peratus semasa protes demokrasi pada 2019.

Ketua eksekutif baharu akan dipilih oleh jawatankuasa kecil penyokong setia Beijing pada akhir Mac.

Pada masa ini Lam tidak menyatakan sama ada beliau akan bertanding untuk penggal kedua dan Beijing masih belum memberi kata putus kepada calon pilihannya. - AFP

Berita Harian X