Sabtu, 29 Januari 2022 | 12:27pm

Semenanjung Gaza teruk 'dibadai' Omicron

GAZA: Semenanjung Gaza berdepan situasi 'sulit dan malapetaka' berikutan penularan pantas varian Omicron, kata seorang pegawai kesihatan Palestin.

"Keluk jangkitan menunjukkan peningkatan mendadak dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini," kata Penasihat kepada Menteri Kesihatan Palestin, Fathi Abdu Warda.

Beliau menjelaskan, terdapat 95 pesakit dimasukkan ke hospital dengan 63 daripadanya dalam keadaan kritikal dan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) mencecah 56 peratus.

Justeru, Abu Warda memohon mereka yang dijangkiti COVID-19 atau mengalamai gejala berkaitan virus itu segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan termasuk melakukan ujian saringan.

Katanya, sebanyak 48 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital di dijangkiti COVID-19 varian Omicron.

Beliau juga berkata, musim sejuk ketika ini yang melanda wilayah Palestin dan kekurangan bekalan elektrik di Semenanjung Gaza mengakibatkan penduduk di situ terpaksa bergelap selama 12 jam sehari, sehingga mencetuskan amaran sekali gus keadaan itu menyumbang kepada penularan virus itu, lapor agensi berita Xinhua.

"Setakat ini, hanya 30 peratus populasi Semenanjung Gaza sudah divaksinasi," kata Abu Warda sambil menambah Kementerian Kesihatan menggesa mereka yang belum disuntik vaksin untuk menerima pelalian itu.

Palestin merekodkan lima kematian dan 5,380 kes baharu COVID-19 di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lalu, mengikut laporan harian COVID-19 Kementerian Kesihatan. - AGENSI

Berita Harian X