Jumaat, 28 Januari 2022 | 8:09am
Penunggang basikal melepasi kedai menjual bahan api di Kabul, Afghanistan. - Foto REUTERS
Penunggang basikal melepasi kedai menjual bahan api di Kabul, Afghanistan. - Foto REUTERS

Bantuan Afghanistan: AS digesa beri galakan bertulis kepada bank

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Amerika Syarikat (AS) digesa memberi galakan secara bertulis kepada institusi perbankan bagi memindahkan wang ke Afghanistan untuk PBB dan kumpulan bantuan demi menyelamatkan jutaan nyawa, kata ketua kumpulan bantuan antarabangsa terkemuka pada Khamis.

Bercakap kepada Reuters, Setiausaha Agung Majlis Pelarian Norway (NRC), Jan Egeland, yang pernah menjadi ketua bantuan PBB pada 2003 hingga 2006 mendedahkan sekatan negara barat menghalang mereka menyalurkan bantuan kemanusiaan di Afghanistan.

"Ketika ini, secara paradoknya... sekatan Barat menjadi masalah utama kami untuk menyelamatkan nyawa di Afghanistan," katanya.

Taliban yang sudah sekian lama disenarai hitam oleh AS sebagai kumpulan pengganas merampas kuasa daripada kerajaan yang disokong pihak antarabangsa pada Ogos lalu.

Keadaan itu menyaksikan berbilion dolar wang yang disimpan dalam bank rizab pusat Afghanistan termasuk bantuan pembangunan antarabangsa dibekukan bagi menghalang ia jatuh ke tangan Taliban.

PBB dan kumpulan bantuan bergelut mendapatkan dana secukupnya untuk dibawa masuk bagi menjalankan operasi di Afghanistan, yang mana jutaan orang menderita kerana kebuluran dan ekonomi, pendidikan serta perkhidmatan sosial di ambang kehancuran.

Setiausaha Agong PBB, Antonio Guterres dalam sesi taklimat Majlis Keselamatan PBB pada Rabu, berkata Afghanistan berada dalam situasi bahaya dan kekurangan kecairan dalam negara itu akan mengehadkan kapasiti untuk menyalurkan bantuan kepada pihak memerlukan.

Bulan lalu, Washington mengeluarkan pengecualian sekatan dikenali sebagai lesen am berkaitan kerja-kerja kemanusiaan.

Bagaimanapun, Egeland menegaskan langkah itu tidak memadai untuk meyakinkan bank antarabangsa bahawa mereka boleh mengelak kemarahan Washington sekiranya dana dipindahkan ke Afghanistan untuk kumpulan bantuan.

Justeru, beliau menggesa supaya pihak perbendaharaan mengeluarkan sesuatu yang khusus secara bertulis.

"Pihak Perbendaharaan AS perlu proaktif," kata Egeland yang mengambil bahagian dalam mesyuarat kumpulan bantuan dengan Timbalan Setiausaha Perbendaharaan AS, Wally Adeyemo, minggu lalu.

Egeland menegaskan supaya perbendaharaan mengutuskan 'sepucuk surat jaminan' yang mengatakan 'bahawa anda dengan ini digalakkan' untuk menyelamatkan nyawa di Afghanistan dengan menyalurkan sebarang perkhidmatan diperlukan untuk pertubuhan bantuan.

Beliau merayu bantuan berjumlah berbilion dolar untuk dilepaskan bagi membantu rakyat Afghanistan.

Sejak Ogos lalu, sekitar AS$9.5 bilion (RM39.8 bilion) tersimpan dalam rizab bank pusat Afghanistan dibekukan di luar negara dan AS$1.2 bilion (RM5 bilion) dana pembangunan yang ditadbir oleh Bank Dunia terpaksa ditahan kerana penderma dikatakan menggunakannya sebagai pengaruh ke atas Taliban dalam isu termasuk berkaitan hak asasi manusia. - REUTERS

Berita Harian X