Khamis, 27 Januari 2022 | 9:57pm
Hong Kong akan mengurangkan tempoh kuarantin pengembara luar dari 21 hari kepada hanya 14 hari, berkuat kuasa 5 Februari depan. - Foto REUTERS
Hong Kong akan mengurangkan tempoh kuarantin pengembara luar dari 21 hari kepada hanya 14 hari, berkuat kuasa 5 Februari depan. - Foto REUTERS

Hong Kong kurangkan kuarantin pengembara luar kepada 14 hari

HONG KONG: Hong Kong akan mengurangkan tempoh kuarantin pengembara luar dari 21 hari kepada hanya 14 hari, berkuat kuasa 5 Februari depan.

Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, ketika mengumumkan keputusan itu hari ini berkata, tempoh kuarantin baharu berkenaan dibuat bersandarkan asas sains, bukan berikutan tekanan daripada mana-mana pihak.

"Ia bukan disebabkan tekanan daripada sesiapa. Ia hanya kerana sains… bahawa Omicron mempunyai tempoh inkubasi yang singkat," katanya pada sidang media, sambil menambah pendekatan sedemikian masih gagal memuaskan hati komuniti perniagaan.

Keputusan mengurangkan tempoh kuarantin diumumkan selepas pelbagai pihak daripada eksekutif kewangan dan diplomat Hong Kong yang menyifatkan peraturan sebelum ini menjejaskan daya saing.

Peraturan mengenai COVID-19 yang ketat di Hong Kong menjadikan bandar berkenaan sebagai yang paling terasing di dunia, dengan kadar penerbangan menyusut sehingga 90 peratus.

Pengembara dari 160 negara sebelum ini dikehendaki menjalani kuarantin untuk tempoh 21 hari di hotel yang ditentukan, namun ia kini dikurangkan kepada hanya 14 hari.

Selesai kuarantin, pengembara akan menjalani tempoh pemantauan kendiri selama tujuh hari.

Butiran lanjut berhubung peraturan terbaharu itu akan diumumkan kelak, namun negara yang bakal disenarai untuk tertakluk kepada dasar berkenaan belum dimaklumkan.

Rabu lalu, Dewan Perdagangan Eropah menerusi laporan dalaman memaklumkan bahawa keperluan menjalani kuarantin yang ditetapkan di Hong Kong, sekali gus menyaksikan pelbagai syarikat menggerakkan kakitangan mereka ke Singapura dan Seoul.

Kelonggaran peraturan itu bagaimanapun disusuli pendekatan lebih ketat yang dikenakan jajahan China berkenaan, demi mengekang penularan jangkitan varian Omicron, termasuk mengenakan perintah berkurung membabitkan ribuan kompleks perumahan dan kemudahan kerajaan.

Sekolah, taman permainan, gimnasium dan kebanyakan tempat ditutup, manakala puluhan ribu rakyat perlu menjalani saringan COVID-19 setiap hari.

Lam berkata, sekatan yang dikenakan di seluruh bandar itu akan dilanjutkan hingga 17 Februari depan, berbanding 4 Februari sebelum ini.

Sekolah pula tidak akan beroperasi secara bersemuka sehingga 21 Februari ini.

Pada minggu ini, kerajaan mengumumkan bahawa segelintir penjawat awam dibenarkan bekerja dari rumah, dengan sebahagian kakitangan perbankan diberi kelonggaran sama.

Angka jangkitan COVID-19 setakat hari ini merekodkan sebanyak 164 kes baharu, iaitu yang tertinggi sejak pandemik tercetus pada 2020.

Berdasarkan perangkaan rasmi, ia adalah hari kelima berturut-turut yang menyaksikan kadar jangkitan COVID-19 mencatatkan tiga angka, dipercayai berikutan penularan di kediaman estet Kwai Chung.

Lam berkata, Hong Kong perlu meningkatkan kadar vaksinasi ke tahap 90 peratus, berbanding 70 peratus ketika ini sebelum pihak berkuasa mempertimbangkan sebarang kelonggaran kepada dasar sedia ada.

"Saya tidak tergamak melihat orang meninggal dunia di hospital, justeru kita akan cuba sedaya mungkin untuk tingkatkan kadar vaksinasi," katanya. - REUTERS

Berita Harian X