Khamis, 27 Januari 2022 | 7:07pm
Orang ramai yang marah membakar gerabak kereta api dalam protes berhubung akses kepada kerja kereta api di Gaya, negeri Bihar di timur laut India. - Foto AFP
Orang ramai yang marah membakar gerabak kereta api dalam protes berhubung akses kepada kerja kereta api di Gaya, negeri Bihar di timur laut India. - Foto AFP

Pencari kerja bakar gerabak kereta api

LUCKNOW: Ribuan golongan muda di India membakar gerabak kereta api dan menghalang laluan trafik rel, minggu ini sebagai tanda bantahan terhadap kepincangan pengambil kerja oleh syarikat pengendali kereta api.

Persatuan pelajar turut menggesa supaya lebih banyak demonstrasi diadakan minggu ini, khususnya di timur Bihar yang merekodkan antara kadar pengangguran tertinggi, melangkaui paras global bagi tempoh lima hingga enam tahun lalu.

Keganasan tercetus Isnin lalu selepas ujian pengambilan kerja bagi pelbagai kategori menunjukkan nama segelintir individu muncul beberapa kali, sekali gus menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan calon yang gagal ujian berkenaan.

Jutaan orang memohon bagi mendapatkan kira-kira 150,000 pekerjaan di Bihar dan negeri terdekat, Uttar Pradesh.

"Proses pengambilan tidak telus. Nama beberapa calon tertentu dipaparkan dalam pelbagai kategori dan ini tidak adil," kata Ashutosh Singh, antara peserta demonstrasi di Bihar.

Kementerian Kereta Api semalam dilaporkan berkata, sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi meneliti rungutan disuarakan calon.

Terdahulu, individu yang terbabit dalam tindakan vandalisme dan memusnahkan harta awam akan disingkirkan daripada peluang mendapat pekerjaan bagi sektor kereta api, selain bakal berdepan tindakan undang-undang.

Sektor kereta api India setakat ini menggaji lebih 1.2 juta orang.

Di ibu negeri Biha, Patna, pegawai kanan Chandrashekhar Singh, berkata pihak berkuasa sudah merekodkan kira-kira 400 laporan polis, tanpa nama pengadu dan lima institut yang terbabit dalam mendidik pelajar bagi sektor kereta api dan lain-lain pekerjaan.

Di Uttar Pradesh, pihak berkuasa menahan enam anggota polis kerana menggunakan kekerasan terhadap peserta demonstrasi di Prayagraj.

Pegawai kanan polis, Ajay Kumar, berkata tiga orang awam turut diberkas. - REUTERS

Berita Harian X