Rabu, 26 Januari 2022 | 4:01pm
Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman (kanan) bertemu dengan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha (C) di Diriyah di pinggir ibu kota Riyadh. - Foto AFP
Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman (kanan) bertemu dengan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha (C) di Diriyah di pinggir ibu kota Riyadh. - Foto AFP

Riyadh, Bangkok kembali jalin hubungan diplomatik

RIYADH: Arab Saudi dan Thailand mengumumkan jalinan semula hubungan diplomatik, selepas terputus lebih tiga dekad berikutan kes kecurian batu permata dari istana Arab Saudi.

Pekerja pencuci kelahiran Thailand, Kriangkrai Techamong, dilaporkan mencuri batu permata mencecah nilai AS$20 juta (RM83.82 juta) pada 1989 dari kediaman putera Arab Saudi, sekali gus mencetuskan insiden siri pembunuhan di Bangkok dan pertelagahan antara kedua-dua negara yang digelar sebagai 'Hubungan Permata Biru'.

Thailand dan Arab Saudi mengumumkan perkembangan terbaharu itu menerusi kenyataan bersama, hari ini sempena kunjungan rasmi Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-O-Cha ke Riyadh.

"Detik bersejarah ini hasil usaha berterusan di pelbagai peringkat untuk mengembalikan keyakinan bersama dan hubungan akrab," menurut kenyataan itu, susulan pertemuan antara Perdana Menteri Thailand serta Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman.

Susulan itu, kedua-dua negara bersetuju untuk melantik duta masing-masing dalam tempoh terdekat.

Syarikat penerbangan Arab Saudi pula mengumumkan bahawa penerbangan ke Thailand akan kembali beroperasi menjelang Mei depan.

Kerajaan Thailand berkata, Arab Saudi memaklumkan bahawa negara berkenaan sedang mencari lapan juta pekerja mahir, termasuk bagi sektor hotel, penjagaan kesihatan dan projek pembinaan.

Timbalan Jurucakap Kerajaan Thailand, Rachada Dhanadirek, menerusi kenyataan menjelaskan bahawa Negara Gajah Putih itu bersedia untuk membekalkan tenaga kerja mahir untuk membantu memenuhi keperluan Arab Saudi.

Thailand berulang kali menegaskan bahawa negara berkenaan cuba menghidupkan semula hubungan diplomatik dengan Arab Saudi, dengan harapan untuk memberi manfaat kepada industri pelancongan.

Sejak sekian lama, Arab Saudi mendakwa polis Thailand gagal memuktamadkan siasatan terhadap kes kecurian permata membabitkan kenamaan negara Asia Barat itu, malah mengatakan bahawa permata yang dicuri berkenaan disimpan oleh pegawai tertinggi.

Polis Thailand kemudian memulangkan sebahagian permata, namun Arab Saudi mendakwa ia palsu, manakala permata paling berharga iaitu batu permata biru 50 karat kekal misteri.

Riyadh menghantar seorang ahli perniagaan bagi menyiasat kes berkenaan pada 1990 tetapi beliau dilaporkan hilang di Bangkok, beberapa hari selepas tiga diplomat Arab Saudi ditembak mati di ibu kota terbabit.

Pada 2014, disebabkan kurang bukti, kes pendakwaan membabitkan lima lelaki, termasuk seorang polis kanan Thailand yang dikatakan mempunyai kaitan dalam pembunuhan ahli perniagaan Arab Saudi, diketepikan mahkamah.

Jurucakap Kerajaan Thailand, Thanakorn Wangboonkongchana, berkata Prayut menzahirkan penyesalan terhadap insiden yang berlaku pada 1989 dan 1990, selain berjanji untuk membuka semula siasatan sekiranya wujud bukti baharu.

Kriangkrai menjalani hukuman penjara selama lima tahun kerana mencuri batu permata yang dijual sebelum dia ditahan.

Lelaki terbabit kemudian menjadi sami pada 2016. - AFP

Berita Harian X