Selasa, 25 Januari 2022 | 2:13pm
Samoa, Kepulauan Solomon lanjut perintah sekatan susulan peningkatan kes Omicron. FOTO AFP
Samoa, Kepulauan Solomon lanjut perintah sekatan susulan peningkatan kes Omicron. FOTO AFP

Perintah sekatan dilanjut di Samoa, Soloman

HONIARA: Perintah sekatan di Samoa dan Kepulauan Solomon dilanjutkan sehingga Khamis ini berikutan wabak COVID-19 bertambah buruk di negara pulau terpencil Pasifik itu.

Sebelum ini, negara Pasifik berjaya mengekang penularan COVID-19 menggunakan kaedah pengasingan dengan menutup sempadan pada awal tahun 2020.

Namun, dua tahun kemudian, varian Omicron berjaya menembusinya dan Kepulauan Solomon melaporkan peningkatan jangkitan 10 kali ganda sejak kes komuniti pertama dikesan pada pertengahan Januari.

Presiden Kiribati, Taneti Maamau mengisytiharkan darurat selepas 23 penduduk tempatan dijangkiti virus berkenaan selepas puluhan penumpang dengan virus itu tiba dalam penerbangan pertama dari Fiji minggu lalu.

Kes jangkitan di Palau turut meningkat dua kali ganda kepada hampir 600 dalam tempoh tiga hari.

Perdana Menteri Solomon, Manasseh Sogavare, berkata ibu kota Honiara menjadi kawasan tumpuan virus, menuntut sekatan dilanjutkan selama empat hari untuk mencegah penularan ke seluruh negara.

"COVID-19 dibawa dari Honiara ke wilayah lain melalui kapal yang belayar dari ibu kota kami.

"Saya meminta semua penduduk yang tinggal di zon kecemasan untuk mematuhi perintah berkurung dan tinggal di rumah supaya kita dapat mengurangkan penularan virus serta mengawal wabak," katanya.

Sehingga minggu lalu, negara dengan 700,000 penduduk mencatatkan kematian sifar dan merekodkan hanya 31 kes, tetapi jangkitan kini hampir 300, dengan jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.

Sehingga 13 Januari lalu, 264,085 dos diberikan di Solomon, manakala Palau hampir 100 peratus disuntik dengan jumlah penduduk seramai lebih 18,000. - AFP

Berita Harian X