Sabtu, 22 Januari 2022 | 11:54am
Pasukan penyelamat menggunakan kren untuk mengangkat runtuhan bumbung pusat tahanan susulan serangan udara di Saada, Yaman. - Foto REUTERS
Pasukan penyelamat menggunakan kren untuk mengangkat runtuhan bumbung pusat tahanan susulan serangan udara di Saada, Yaman. - Foto REUTERS

Pakatan diketuai Saudi nafi terbabit pengeboman penjara Yaman

RIYADH: Pakatan diketuai Arab Saudi pada Sabtu menafikan dakwaan pihak mereka melakukan serangan udara ke atas penjara dikuasai pemberontak di utara Yaman yang menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh.

Menurut jurucakap pakatan, Turki al-Malki, yang dipetik Saudi Press Agency, laporan mengenai sasaran pusat tahanan di kawasan pusat pemberontak di utara Saada pada Jumaat adalah tidak benar dan tidak berasas.

"Pakatan angkatan bersama mengikuti apa yang dilaporkan beberapa media selepas pengumuman pemberontak Houthi yang disokong pengganas Iran, bahawa kami menyasarkan pusat tahanan di Saada dan mendakwa mengenai beberapa mangsa tahanan di pusat itu.

"Dakwaan oleh pemberontak ini adalah tidak benar dan tidak berasas. Kami memandang serius laporan ini, kerana kajian selepas tindakan (AAR) yang komprehensif sudah dijalankan mengikut mekanisme dalaman gabungan dan dakwaan ini terbukti tidak berasas," katanya.

Beliau menjelaskan, apa yang diisytiharkan oleh pemberontak Houthi menggariskan pendekatan berterusan mereka untuk mengelirukan dan memberi maklumat yang salah.

"Sasaran serangan yang dipersoalkan belum diletakkan dalam 'No Strike List (NSL)' mengikut mekanisme yang dipersetujui dengan pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) Yaman.

"Belum dilaporkan oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan tidak mematuhi peraturan Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa mengenai pusat tahanan yang dinyatakan dalam Perkara (23) Konvensyen Geneva (III) berkaitan dengan Layanan Terhadap Tawanan Perang, yang menetapkan simbol tersendiri dan langkah-langkah pencegahan untuk lokasi sedemikian," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan berkongsi dengan OCHA dan ICRC fakta dan butiran, serta maklumat salah media yang sudah disiarkan berdasarkan dakwaan pemberontak Houthi mengenai sasaran dan lokasi tuntutan itu.

Terdahulu, media melaporkan dengan memetik kenyataan pihak pemberontak bahawa sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dalam serangan udara ke atas penjara di Saada.

Pemberontak Houthi mengeluarkan rakaman video mengerikan, menunjukkan mayat di dalam runtuhan serta yang hancur akibat serangan itu, sehingga memusnahkan bangunan penjara di kawasan mereka di Saada. - AGENSI

Berita Harian X