Sabtu, 22 Januari 2022 | 8:26am
Wanita Afghanistan bekerja di bengkel jahitan di Kabul, Afghanistan. - Foto REUTERS
Wanita Afghanistan bekerja di bengkel jahitan di Kabul, Afghanistan. - Foto REUTERS

NGO wanita Afghanistan tidak pakai burka diugut tembak

KABUL: Polis Taliban didakwa mengancam menembak pekerja badan bukan kerajaan (NGO) wanita di wilayah barat laut Afghanistan, jika mereka tidak memakai burka, pakaian yang menutup keseluruhan badan si pemakai, menurut dua kakitangan NGO berkenaan.

Hak rakyat Afghanistan, terutamanya wanita didakwa semakin disekat sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos lalu selepas berjaya menggulingkan kerajaan disokong Amerika Syarikat (AS).

Wanita didiskriminasi daripada menjalani kehidupan awam dan sebahagian besarnya dilarang bekerja dalam kerajaan, sementara kebanyakan sekolah menengah untuk wanita ditutup.

Dua pekerja NGO antarabangsa di wilayah Badghis memberitahu, kakitangan cawangan tempatan Kementerian Kebajikan dan Pencegahan Maksiat sudah bertemu dengan kumpulannya Ahad lalu.

"Mereka beritahu kami, jika kakitangan wanita datang ke pejabat tanpa memakai burka, mereka akan menembaknya.

"Mereka juga berkata akan hadir ke setiap pejabat tanpa notis awal untuk memeriksa peraturan," kata seorang NGO itu, meminta untuk tidak dinamakan atas sebab keselamatan.

Sumber NGO lain mengesahkan amaran itu.

Katanya, wanita yang bekerja juga mesti diiringi penjaga lelaki.

Notis yang diberikan kepada NGO itu tidak menyebut ancaman tembakan, namun mengarahkan wanita menutup badan.

Wanita di Afghanistan yang konservatif biasanya menutup rambut mereka dengan selendang, sementara burka, diwajibkan di bawah rejim pertama Taliban, sejak 1996 hingga 2001, masih terpakai secara meluas hingga kini, terutamanya di luar ibu kota Kabul.

Terdesak untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa bagi memperoleh kembali aset yang masih dibeku, Taliban kini dilihat cuba mengelak daripada mengeluarkan dasar negara yang mencetuskan kemarahan di luar negara.

Bagaimanapun, pihak berkuasa wilayahnya mengeluarkan pelbagai garis panduan dan fatwa berdasarkan tafsiran undang-undang Islam tempatan dan adat Afghanistan.

Di ibu negara semalam, Taliban mengadakan demonstrasi dengan kira-kira 300 lelaki, melaungkan 'Kami mahu undang-undang Syariah'.

Sambil memegang poster wanita bertudung penuh, orang ramai menuduh aktivis hak wanita yang turun ke jalan juga sebagai 'peserta upahan'.

Awal bulan ini, pelbagai poster yang memaparkan imej burka ditampal di kafe dan kedai di Kabul yang mengarahkan supaya wanita Afghanistan menutup badan.

Wanita dilarang muncul dalam drama televisyen dan mesti ditemani penjaga lelaki dalam perjalanan antara bandar dan bandar.

Beberapa bantahan kecil bagi menuntut hak wanita muncul, yang mana dilihat semakin baik sejak 20 tahun lalu.

Bagaimanapun, beberapa aktivis memberitahu mereka bersembunyi di ibu negara minggu ini selepas beberapa siri serbuan membawa kepada penahanan tiga wanita. - AFP.

Berita Harian X