Sabtu, 22 Januari 2022 | 7:35am
Anggota penyelamat membawa keluar seorang lelaki yang cedera dalam kejadian serangan udara ke atas pusat tahanan di Saada, Yaman. - Foto REUTERS
Anggota penyelamat membawa keluar seorang lelaki yang cedera dalam kejadian serangan udara ke atas pusat tahanan di Saada, Yaman. - Foto REUTERS

70 maut serangan udara ke atas penjara Yaman

SAADA, YAMAN: Sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dalam serangan udara ke atas penjara pada Jumaat ketika konflik berpanjangan Yaman sehingga mendapat kecaman Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Pemberontak Huthi mengeluarkan rakaman video mengerikan, menunjukkan mayat di dalam runtuhan serta yang hancur akibat serangan itu, sehingga memusnahkan bangunan penjara di kawasan mereka di Saada.

Di sebelah selatan di bandar pelabuhan Hodeida, sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak maut apabila serangan udara oleh pakatan diketuai Arab Saudi mengenai kemudahan telekomunikasi ketika mereka sedang bermain di kawasan berdekatan, kata Save the Children.

Yaman juga mengalami gangguan internet di seluruh negara.

"Kanak-kanak itu dilaporkan sedang bermain di padang bola sepak berhampiran apabila peluru berpandu mengenai mereka," kata Save the Children.

Lapan agensi bantuan yang beroperasi di Yaman dalam satu kenyataan bersama juga berkata, mereka gerun dengan berita lebih 70 orang, termasuk migran, wanita dan kanak-kanak terbunuh, secara jelas tidak menghiraukan nyawa orang awam.

Mereka berkata penjara di Saada digunakan sebagai pusat tahanan untuk migran, turut menempatkan ramai mangsa di sana.

Namun Emiriah Arab Bersatu (UAE) menegaskan mereka serta ahli gabungan lain kekal komited terhadap tindak balas 'bersasar' dari serangan Huthi.

Serangan itu katanya, berlaku selepas Huthi mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan dron dan peluru berpandu ke atas Abu Dhabi yang membunuh tiga orang Isnin lalu.

Ia hadir ketika Majlis Keselamatan PBB bermesyuarat untuk membincangkan serangan itu atas permintaan UAE.

Majlis sebulat suara mengutuk serangan kejam pemberontak Yaman namun dalam satu kenyataan sebelum mesyuarat itu, diplomat Norway juga mengutuk sekeras-kerasnya keganasan terbaharu itu.

"Ia tidak boleh diterima," kata duta Norway, Mona Juul mengenai serangan itu.

Guterres dalam kenyataan dikeluarkan PBB kemudian, mengingatkan semua pihak bahawa serangan yang ditujukan terhadap orang awam dan kemudahan awam dilarang oleh undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Doktor Tanpa Sempadan (MSF) di hospital di Saada pula menyatakan terharu dengan serangan itu, selepas mereka menerima 70 mangsa yang maut dan 138 cedera.

Katanya, dua hospital lain juga menerima ramai mangsa yang cedera dan pencarian dalam runtuhan masih diteruskan pada waktu malam.

Ketua misi MSF, Ahmed Mahat, berkata terdapat mayat yang masih berada di tempat kejadian, dengan ramai juga yang hilang.

"Adalah mustahil untuk mengetahui berapa ramai yang terbunuh. Ia seolah-olah satu tindakan keganasan yang mengerikan," katanya. AFP.

Berita Harian X