Selasa, 18 Januari 2022 | 7:33pm
Kes baharu COVID-19 di Jepun melonjak memecah rekod sedia ada. - Foto REUTERS
Kes baharu COVID-19 di Jepun melonjak memecah rekod sedia ada. - Foto REUTERS

Jepun catat 27,000 kes baharu COVID-19, tertinggi pernah direkodkan

TOKYO: Kes baharu COVID-19 di Jepun melonjak memecah rekod sedia ada ketika kerajaan mempertimbangkan untuk meluaskan usaha membendung varian Omicron di negara itu.

Sebanyak 27,000 kes baharu dicatatkan, kata penyiar TBS, melebihi paras tertinggi sebelum ini yang dicatatkan pada Ogos tahun lalu sejurus selesai Tokyo menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas.

Wilayah barat Osaka mencatatkan 5,396 kes jangkitan baharu, manakala Tokyo mempunyai 5,185, tertinggi sejak 21 Ogos lalu.

Menteri Ekonomi, Daishiro Yamagiwa, meminta langkah memerangi jangkitan ditingkatkan di Tokyo dan 12 wilayah lain berikutan kebimbangan peningkatan jangkitan varian Omicron yang memberi kesan kepada sistem penjagaan kesihatan.

Gabenor diberikan kebenaran untuk melaksanakan sekatan pergerakan dan perniagaan, termasuk waktu operasi yang lebih pendek untuk bar dan restoran.

Akhbar Yomiuri melaporkan kemungkinan akan diumumkan tindakan separa darurat yang dijangka diisytiharkan seawal esok.

Langkah itu susulan sekatan yang diisytiharkan awal bulan ini di tiga wilayah yang menempatkan kemudahan ketenteraan Amerika Syarikat, selepas jangkitan varian Omicron dikesan merebak dalam komuniti sekitar kawasan itu.

Kadar penggunaan katil di hospital di Tokyo untuk pesakit COVID-19 turut dipantau apabila menunjukkan peningkatan 23.4 peratus, hari ini.

"Peningkatan kepada 50 peratus penggunaan katil membolehkan pengisytiharan darurat penuh dibuat," menurut pegawai. - REUTERS

Berita Harian X