Selasa, 18 Januari 2022 | 4:43pm
Seorang pegawai polis terbunuh dan dua lagi cedera dalam kejadian berbalas tembakan yang jarang berlaku di ibu negara Pakistan. - Foto AGENSI
Seorang pegawai polis terbunuh dan dua lagi cedera dalam kejadian berbalas tembakan yang jarang berlaku di ibu negara Pakistan. - Foto AGENSI

Pegawai polis Pakistan, dua militan terbunuh dalam pertempuran di Islamabad

ISLAMABAD: Seorang pegawai polis terbunuh dan dua lagi cedera dalam kejadian berbalas tembakan yang jarang berlaku di ibu negara Pakistan.

Pertempuran pada malam Isnin itu berlaku selepas dua lelaki bersenjata menunggang motosikal melepaskan tembakan ke arah pusat pemeriksaan polis di Islamabad.

"Seorang anggota polis syahid manakala dua lagi cedera," kata polis dalam satu kenyataan, sambil menambah kedua-dua penyerang turut terbunuh.

Menteri Dalam Negeri Pakistan mengarahkan siasatan terhadap insiden mengancam keselamatan awam yang jarang berlaku di ibu negara dikawal ketat yang turut menempatkan berpuluh-puluh kedutaan asing.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu, ketika Pakistan sedang bergelut dengan kebangkitan kumpulan Taliban tempatan selepas pejuang itu kembali berkuasa di Afghanistan tahun lalu.

Pakistan kini berhadapan kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) satu gerakan yang berakar umbi dengan kumpulan Taliban di Afghanistan.

Pegawai Kanan Polis Islamabad, Shahid Zaman, memberitahu AFP insiden itu adalah satu serangan 'tindakan keganasan'.

Akhir tahun lalu, Pakistan melaksanakan gencatan senjata selama sebulan dengan TTP, yang dikendalikan Taliban Afghanistan, namun ia tamat pada 9 Disember lalu selepas rundingan damai gagal mencapai kemajuan.

TTP dipersalahkan atas beratus serangan bom bunuh diri dan penculikan di seluruh negara itu dan ketika ini kumpulan itu menguasai kawasan yang diduduki puak pemisah yang mengenakan undang-undang Islam radikal.

Tentera Pakistan mula menghantar pasukan ke kubu kuat TTP di Peshawar selepas pembunuhan beramai-ramai pada 2014 yang menyaksikan hampir 150 kanak-kanak sekolah terkorban.

Tindakan tentera itu hampir menghancurkan pergerakan itu, yang memaksa pejuangnya berundur ke Afghanistan. - AFP

Berita Harian X