Selasa, 18 Januari 2022 | 2:20pm
Tentera gabungan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan ke atas Sanaa yang diketuai Houthi di Yaman. - Foto Agensi
Tentera gabungan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan ke atas Sanaa yang diketuai Houthi di Yaman. - Foto Agensi

14 maut serangan udara di Yaman

KAHERAH: Seramai 14 orang maut dalam serangan udara di sebuah bangunan di Sanaa, Yaman, oleh tentera gabungan diketuai Arab Saudi yang menentang kumpulan Houthi.

Serangan tentera gabungan ke atas Sanaa yang dikawal Houthi itu susulan serangan pemberontak terhadap Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Pasukan gabungan itu turut memintas lapan dron yang dilancarkan ke arah Arab Saudi, semalam.

Terdahulu, gabungan berkenaan memulakan serangan udara di kubu kuat dan kem kumpulan Houthi yang sealiran dengan Iran di Sanaa.

Berdasarkan anggaran awal, serangan udara itu meragut 14 nyawa, selain turut menyasar rumah milik seorang bekas pegawai tentera.

Sumber pasukan perubatan dan penduduk setempat memaklumkan, serangan meragut nyawa bekas tentera berkenaan, isteri, anak lelakinya berusia 25 tahun dan anggota keluarga lain serta beberapa individu yang tidak dikenali.

Timbalan Menteri Luar Houthi menerusi Twitter mendakwa, serangan tentera gabungan di sekitar bandar itu membunuh 20 individu.

Media kendalian Houthi, Al Masirah TV melaporkan serangan udara terbabit turut merosakkan beberapa kediaman, membunuh sekurang-kurangnya 12 individu dan mencederakan puluhan yang lain.

UAE memberi senjata dan melatih tentera Yaman yang menyertai pertempuran menentang Houthi baru-baru ini, di wilayah Shabwa dan Marib.

Serangan terhadap UAE yang didakwa oleh Houthi semalam, berlaku dengan meletupkan beberapa trak minyak, meragut tiga nyawa dan menyebabkan kebakaran berhampiran lapangan terbang Abu Dhabi.

UAE menegaskan, mereka berhak untuk membalas serangan itu yang disifatkan sebagai 'serangan pengganas dan meningkatkan jenayah'. - Agensi

Berita Harian X