Selasa, 18 Januari 2022 | 11:20am
Petugas kesihatan membawa seorang penduduk yang dijangkiti COVID-19 dari pusat penjagaan warga emas Epping Gardens di pinggir bandar Epping, Melbourne. - Foto AFP
Petugas kesihatan membawa seorang penduduk yang dijangkiti COVID-19 dari pusat penjagaan warga emas Epping Gardens di pinggir bandar Epping, Melbourne. - Foto AFP

Omicron: Australia catat kematian tertinggi, pesakit di hospital meningkat

SYDNEY: Australia berdepan hari terburuk sepanjang pandemik COVID-19 dengan varian Omicron yang menular pantas terus melonjakkan kadar kemasukan ke hospital ke tahap tertinggi meskipun kes harian mencatat sedikit penurunan.

Negara itu sedang berdepan penularan COVID-19 terburuk, berikutan Omicron menyebabkan lebih ramai pesakit yang dijangkiti virus itu dimasukkan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU), berbanding sebelum ini.

Angka rasmi menunjukkan 74 kematian direkodkan di tiga negeri penduduk teramai di Australia iaitu New South Wales, Victoria dan Queensland, melebihi angka tertinggi sebelum ini iaitu 57 kematian yang dicatat Khamis lalu.

Ketua Menteri New South Wales, Dominic Perrottet, yang sebelum ini menolak melaksanakan langkah sekatan yang ketat kerana kadar vaksinasi tinggi, berkata hospital masih mampu menampung peningkatan jumlah pesakit buat masa ini.

Beliau turut mengakui negeri itu berdepan detik sukar ketika ini selepas merekodkan 36 kematian baharu, dengan tertinggi dicatatkan di New South Wales sepanjang pandemik.

"Meskipun berdepan cabaran, ia bukanlah sesuatu yang unik di sini berbanding di seluruh dunia," katanya.

Berikutan jumlah kemasukan pesakit ke hospital meningkat, Victoria mengisytiharkan 'kod perang' di hospital, yang kebiasaannya digunakan ketika tempoh kecemasan jangka pendek.

Kod itu membolehkan pihak hospital di negeri itu membatalkan perkhidmatan kesihatan bukan kecemasan dan membekukan cuti kakitangan.

Sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan golongan muda yang tidak menerima vaksin mencatatkan angka yang signifikan dalam kalangan pesakit yang dimasukkan ke hospital.

Dalam pada itu, sekitar 67,000 kes baharu dilaporkan di New South Wales, Victoria, Queensland dan Tasmania, sekali gus berkurangan berbanding 150,000 kes pada Khamis lalu, yang juga tertinggi dicatatkan negara itu.

Australia mencatatkan kira-kira 1.6 juta jangkitan sejak pandemik COVID-19 bermula dengan kira-kira 1.3 juta kes direkodkan dalam tempoh dua minggu lalu. Jumlah kematian keseluruhan pula adalah 2,757 kes. - Agensi

Berita Harian X