Isnin, 17 Januari 2022 | 7:04pm
Bandar utama India rekod penurunan mendadak jangkitan COVID-19. - Foto AGENSI
Bandar utama India rekod penurunan mendadak jangkitan COVID-19. - Foto AGENSI

Bandar utama India rekod penurunan mendadak jangkitan COVID-19

NEW DELHI: Ibu negara India, Delhi dan hab kewangan, Mumbai merekodkan penularan mendadak jangkitan COVID-19 dalam tempoh dua hari lalu dengan kebanyakan yang dijangkiti itu sembuh di rumah, kata pihak berkuasa, hari ini.

Jangkitan baharu harian Mumbai direkodkan di bawah 10,000 kes semalam buat kali pertama sejak awal bulan ini, selepas mencecah angka paling tertinggi sebanyak 20,971 pada 7 Januari, dengan melaporkan 7,895 jangkitan semalam, kata Perbadanan Perbandaran Mumbai.

Sementara itu, jumlah jangkitan di Delhi menurun secara konsisten sejak mencecah angka tertinggi 28,867 kes pada 13 Januari dan dijangka kurang daripada 15,000 kes hari ini, kali pertama sejak awal Januari, kata Menteri Kesihatannya.

Malah, bagi kedua-dua bandar itu, lebih 80 peratus wad COVID-19 di hospitalnya kekal tidak berpenghuni sejak varian Omicron yang mengakibatkan penularan pantas hingga membawa kepada lonjakan besar kes sejak awal tahun ini.

"Dengan jumlah kes subklinikal, asimtomatik dan tidak dikesan yang sangat besar, adalah sukar untuk menentukan puncak kes baharu," kata Ketua Pusat Perubatan Sosial dan Kesihatan Komuniti di Universiti Jawaharlal Nehru New Delhi, Rajib Dasgupta dalam satu emel.

Katanya, dalam situasi ini, pemantauan kemasukan ke hospital adalah lebih berhati-hati, berikutan kes hari ini boleh dimasukkan ke hospital minggu depan.

Sementara itu, pakar epidemiologi lain mengatakan puncak jangkitan bagi peringkat kebangsaan boleh berlaku pada awal atau pertengahan Februari.

Pakar mengaitkan kemasukan ke hospital yang rendah dengan tahap tinggi jangkitan dan vaksinasi sebelum ini.

Ketika ini, India sudah memberi vaksin sepenuhnya kepada kira-kira 70 peratus daripada 939 juta individu dewasanya dan berharap untuk memberikan dua dos primer kepada 70 juta lagi atau lebih remaja menjelang bulan depan.

Kerajaan menasihatkan pentadbiran negeri untuk meminta hanya orang yang mempunyai gejala COVID-19 untuk menjalani ujian dan bukannya melakukan ujian rawak seperti sebelum ini yang menjejaskan sumber dengan teruk, terutamanya dalam gelombang besar terakhir pada April dan Mei apabila berjuta-juta dijangkiti dan berpuluh-puluh ribu menjadi korban.

Jangkitan COVID-19 di India meningkat sebanyak 258,089 dalam tempoh 24 jam yang lalu, kata Kementerian Kesihatan hari ini, menjadikan jumlah itu kepada 37.38 juta, kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, jumlah kematian meningkat sebanyak 385 iaitu dengan hampir 40 peratus daripadanya disebabkan kematian tertangguh sebelum ini di negeri selatan Kerala dengan jumlah 486,451 orang.

Hanya AS dan Brazil melaporkan lebih banyak jumlah kematian disebabkan COVID-19. - REUTERS

Berita Harian X