Isnin, 17 Januari 2022 | 3:56pm
Kadar pertumbuhan semula jadi penduduk China tidak termasuk migrasi, hanya 0.034 peratus bagi 2021 direkodkan, terendah sejak 1960. - Foto AGENSI
Kadar pertumbuhan semula jadi penduduk China tidak termasuk migrasi, hanya 0.034 peratus bagi 2021 direkodkan, terendah sejak 1960. - Foto AGENSI

Kadar kelahiran China turun kepada rekod terendah pada 2021

BEIJING: Kadar kelahiran di tanah besar China merekodkan paras terendah tahun lalu (2021) menerusi data yang ditunjukkan hari ini, sekali gus menyaksikan trend kelahiran negara itu terus menurun biarpun Beijing tahun lalu membenarkan pasangan memiliki hingga tiga orang anak.

Selepas berdekad 'polisi satu keluarga satu anak', Beijing mengubah peraturan pada 2016 untuk membenarkan keluarga memiliki dua anak susulan kebimbangan masyarakat semakin berusia, namun dibebani kos hidup tinggi di kawasan bandar menghalang pasangan memiliki ramai anak.

Pada tahun lalu, nisbah kelahirannya direkodkan 7.52 kelahiran bagi setiap 1,000 orang iaitu yang terendah sejak 1949, apabila Biro Perangkaan Kebangsaan mula mengumpulkan data, menambah tekanan ke atas pegawai untuk menggalakkan lebih banyak kelahiran.

Kadar pertumbuhan semula jadi penduduk China dengan tidak termasuk migrasi, hanya 0.034 peratus bagi 2021 direkodkan terendah sejak 1960, menurut data itu.

"Cabaran demografi sudah diketahui umum tetapi kadar penuaan penduduk jelas lebih pantas daripada yang dijangkakan.

"Ini menunjukkan jumlah penduduk China mungkin mencapai kemuncaknya pada 2021. Ia juga menunjukkan potensi pertumbuhan China berkemungkinan perlahan lebih cepat daripada jangkaan," Ketua Ekonomi di Pengurusan Pinpoint Asset, kata Zhiwei Zhang.

Selain membenarkan pasangan mempunyai hingga had tiga anak, China mengguna pakai dasar yang bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan membesarkan anak, termasuk mengharamkan tuisyen selepas sekolah yang bertujuan keuntungan, industri besar-besaran, tahun lalu.

Populasi usia bekerja di China yang semakin berkurangan, menambah tekanan terhadap keupayaan China untuk membayar dan menguruskan negara yang mempunyai ramai individu tua.

Data itu menunjukkan terdapat 10.62 juta kelahiran pada 2021 berbanding 12 juta pada 2020.

Pakar demografi dengan Pusat China dan Globalisasi yang berpangkalan di Beijing, Huang Wenzheng, berkata angka kelahiran berkemungkinan turun naik dalam julat 10 juta sebelum menurun lagi jika tiada perubahan dasar.

"Bagaimanapun, dasar akan memberikan sokongan yang lebih besar untuk kadar kelahiran dalam jangka panjang.

"Kemajuan kerjaya boleh dikaitkan dengan sama ada anda mempunyai anak atau tidak; insentif ekonomi; atau pembayaran tunai terus oleh masyarakat untuk menampung kos membesarkan keluarga," katanya.

Kadar kelahiran pada 2020 ialah 8.52 kelahiran bagi setiap 1,000 orang. - REUTERS

Berita Harian X